Masjid sedia teksi percuma untuk asnaf

Pegawai Agama Islam Daerah Seremban, Dr Amru Al Haz Adnan(tiga dari kanan) menyerahkan kad pelanggan pertama kepada Khairuddin sebagai gimik pelancaran Projek Khidmat Teksi Masjid 2021 di Seremban pada Isnin.
Pegawai Agama Islam Daerah Seremban, Dr Amru Al Haz Adnan(tiga dari kanan) menyerahkan kad pelanggan pertama kepada Khairuddin sebagai gimik pelancaran Projek Khidmat Teksi Masjid 2021 di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Menyedari kesukaran golongan asnaf untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan, Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pemandu dan Tuan Punya Teksi dan Kereta Sewa Senawang menjayakan Projek Khidmat Teksi Masjid 2021.

Inisiatif yang turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Cakna Taman Rasa Sayang (PCRS) dan Pejabat Agama Islam Daerah Seremban itu menawarkan perkhidmatan teksi secara percuma kepada ahli PCRS yang bukan sahaja dalam kategori asnaf tetapi juga ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Masjid Kariah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed berkata, menerusi projek berkenaan, 50 peratus kadar tambang teksi akan dibayar oleh pihak masjid manakala 50 peratus lagi akan ditanggung oleh pemandu teksi.

"Sebagai permulaan kemudahan ini disediakan kepada ahli PCRS yang layak dan selepas ini kita bercadang untuk buka kepada penduduk yang tinggal di kawasan kariah masjid pula.

"Inisiatif ini diambil selepas kita dapati ada dalam kalangan mereka yang sukar untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan, mereka bukan sahaja berdepan masalah kewangan tapi juga pengangkutan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelas beliau, disebabkan kekangan itu ada dalam kalangan mereka yang terpaksa memilih untuk tidak pergi dapatkan rawatan yang akhirnya menyebabkan tahap kesihatan semakin teruk.

"Harapnya dengan kemudahan disediakan ini dapat memberi semangat kepada mereka yang sakit untuk pulih," katanya.

Zulkifli berkata, projek itu juga disifatkan sebagai serampang dua mata kepada pemandu teksi yang bukan saja memberi peluang kepada mereka beramal tetapi juga mendapat penumpang terutama ketika suasana pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pemandu dan Tuan Punya Teksi dan Kereta Sewa Senawang, Khairuddin Sharuddin berkata, mereka sangat berbesar hati apabila diberi peluang untuk bekerjasama menerusi kempen yang dijayakan pihak masjid dalam melakukan kerja amal yang dilihat mampu dijadikan sebagai saham akhirat.

Beliau berkata, usaha itu juga turut memberi ruang kepada pemandu teksi untuk menjana kembali pendapatan setelah ekonomi mereka terjejas sejak berlakunya pandemik Covid-19.

"Memang ikut perjanjian 50 peratus bayaran akan ditanggung masjid. Tapi terpulang kepada pemandu teksi jika mereka mahu berikan ia secara percuma.

"Bagi saya ia ruang buat kami beramal. Memang sekarang ini susah untuk kami dapat penumpang, tapi setidaknya dengan jalinan kerjasama ini ada jugalah duit masuk," katanya