PRU15: PH mula agih kerusi, tidak tolak kerjasama UMNO

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mendedahkan bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain termasuk cadangan yang dikemukakan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).

"Majlis Presiden PH telah putuskan beberapa perkara termasuk kerjasama jentera pilihan raya dan untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan yang lain.

"Ada juga cadangan daripada Presiden UPKO, (Datuk Seri) Wilfred Madius Tangau dan ia akan diambil kira. Tetapi pada tahap ini, kita akan lantik seorang jurucakap," katanya ketika sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkenaan cadangan UPKO yang merupakan parti pembangkang tetapi tidak termasuk dalam gabungan PH.

Sementara itu, Anwar juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU15.

Ia susulan kata dua UMNO pada minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15.

"Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tak berbangkit setakat ini. Walaupun jelas kita dukung siapa saja yang boleh terima kita (PH) untuk dukung tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa, dan jaga (hak) orang Melayu, bumiputera dan semua kaum," kata Anwar.

Artikel Berkaitan:

Anwar sebelum itu merasmikan pelancaran inisiatif baharu PKR bagi membantu wanita yang berdepan masalah sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di sini pada Isnin.