Pemandu teksi antara empat individu diberkas edar dadah

Saiful Azly (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Saiful Azly (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat lelaki termasuk seorang pemandu teksi ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai RM3.4 juta di sebuah kondominium dan rumah di Kepong.

"Kita merampas 'heroin base' seberat 31,175 gram, ketamin (10,127 gram), methamphetamine (930 gram) dan 400 biji pil erimin 5 di dua premis berkenaan yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Saiful Azly berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis Norinco dan 23 butir peluru di kondominium tersebut.

"Kita masih mengesan pemilik pistol berkenaan. Kita turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM11,792," katanya.

Mengulas lanjut, Saiful Azly turut memaklumkan bahawa sindiket itu bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dan pemandu teksi itu disyaki menggunakan pengangkutan awam untuk mengedar dadah.

"Lelaki itu akan menyorok dadah di dalam but kereta sebelum mengedarnya kepada pembeli," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan urin ke atas kesemua suspek berusia antara 34 hingga 58 tahun itu turut mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sejak Khamis lalu hingga Khamis ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.