Permohonan semakan semula kes saman Tun M, Khairuddin 23 April

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran permohonan semakan semula saman yang dikemukakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam, telah dijadualkan semula ke 23 April.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum hari ini menangguhkan perkara itu ke tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, supaya permohonan semakan semula itu didengar pada hari yang sama dengan rayuan Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, membabitkan isu yang sama.

Turut bersidang hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairudin dan Datuk Rohana Yusuf.

Hakim Malanjum telah bertanya kepada peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sama ada, dengan persetujuan pihak-pihak, bolehkah beliau bersetuju dengan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Dr Mahathir dan Khairuddin untuk merayu bagi membolehkan kes mereka didengar bersama-sama kes Tony Pua, atau perkara hari ini ditangguhkan untuk menunggu sehingga Mahkamah Persekutuan memberi keputusannya terlebih dahulu dalam perkara Tony Pua.

Mohd Hafarizam yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ada menerima arahan untuk bersetuju dengan pemberian kebenaran untuk merayu dan bersetuju agar perkara itu ditangguhkan ke 23 April.

Dr Mahathir dan Khairuddin telah memfailkan permohonan bagi semakan semula keputusan awal Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk merayu, dalam usaha untuk mengembalikan semula saman mereka terhadap Najib yang telah dibatalkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dr Mahathir, Khairuddin dan bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin memfailkan saman terhadap Najib pada 23 Mac 2016, dengan mendakwa beliau (Najib) telah menyalahgunakan pejabat awam. dan menyeleweng dalam tugas berhubung pengurusan dana syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan 1MDB.

Pada 28 April, 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu, dengan memutuskan bahawa perdana menteri bukan penjawat awam tetapi adalah anggota pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 Ogos 2017, Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, Khairuddin, dan Anina. Pada 27 Februari tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan Khairuddin.

Pada 5 November tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Pua untuk mengemukakan rayuan berhubung samannya mengenai dakwaan salah guna kuasa yang dikemukakannya terhadap Najib dan kerajaan yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamed Haniff Khatri memberitahu pemberita permohonan semakan semula itu akan didengar pada 23 April, selepas Mahkamah Perskutuan selesai mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Pua. - Bernama