Nurul Farisha, abang gembira kembali ke sekolah

Nurul Farisha dan abangnya, Muhammad Faris gembira dapat kembali ke sekolah.
Nurul Farisha dan abangnya, Muhammad Faris gembira dapat kembali ke sekolah.
A
A
A

PASIR MAS - Seawal jam 5 pagi, Nurul Farisha Mohd Ridzuan, 11, sudah bersiap sedia untuk kembali ke sekolah bagi menyambung pembelajarannya yang 'tertangguh' hampir dua tahun ekoran masalah kesempitan hidup.

Anak kedua daripada lima beradik itu yang sebelum ini tular menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa untuk abang serta tiga lagi adiknya berusia satu hingga enam itu tahun dilihat cukup gembira dapat kembali semula ke sekolah.

Nurul Farisha berkata, dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah masa depan keluarganya.

"Walaupun malu, tetapi saya tetap mahu kembali ke sekolah kerana itu adalah salah satu impian selepas terpaksa 'menyimpannya' sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dia dan abang sulungnya, Muhammad Faris Abdullah, 12, kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 2.

Katanya, mereka berdua sangat bersyukur dapat kembali semula ke sekolah.

Nurul Farisha berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mereka kembali semula ke sekolah.

Sementara itu, Fasnita Mamat, 42, yang merupakan penjaga kanak-kanak itu berkata, dia turut gembira melihat dua beradik itu dapat kembali semula ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia juga mahu melihat seorang lagi adik Farisha iaitu Muhammad Faisal, 6, turut bersekolah tidak lama lagi.

Sinar Harian pada 22 Febuari lalu melaporkan ketika kanak-kanak lain diusianya sedang seronok bermain dan mengikuti pembelajaran, namun tidak bagi Nurul Farisha yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.

Anak kedua daripada lima beradik itu langsung tidak pernah mengeluh malah komited menjalankan tugas yang terbaik buat abangnya, Muhammad Faris Abdullah dan tiga adiknya, Muhammad Faisal, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan,1.