SPRM jangan jadi tongkat pertahan kerajaan rapuh: Saifuddin

SAIFUDDIN
SAIFUDDIN
A
A
A

PETALING JAYA - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan kenyataan berhubung penafian sogokan politik diterima Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail sedangkan siasatan penuh belum dibuat.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut menggambarkan SPRM sebagai alat politik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Daripada kenyataan awal Natrah tidak disebut jumlah sogokan RM10 juta, namun apabila Natrah tampil ke SPRM dan ditanya sama ada beliau ada menerima jumlah berkenaan, tentu beliau menafikan.

"Berdasarkan kenyataan Natrah, SPRM segera keluarkan kenyataan media bahawa Natrah nafi terima RM10 juta sebelum siasatan. Ini saya kata kita mempunyai asas yang kuat untuk melihat SPRM sekarang sebagai senjata politik

"Sepatutnya apabila aduan dibuat, paling afdal ialah SPRM jalankan siasatan. Bukan ghairah keluarkan kenyataan untuk meneutralkan aduan atau kenyataan yang dibuat ahli Parlimen terbabit," katanya pada Sidang Media di sini pada Isnin.

Saifuddin berkata, susulan itu beliau akan menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki untuk tujuan mengadakan pertemuan dan menyerahkan bukti berlakunya sogokan terhadap ahli Parlimen pembangkang bagi mengalih sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada masa sama, beliau menggesa SPRM agar tidak menjadi alat bagi menongkat kerajaan PN yang disifatkan sebagai rapuh.

"Jika beliau sedia bekerjasama, saya akan berikan beberapa pembuktian bagaimana usaha tawaran dan sokongan itu sedang berjalan.

Artikel Berkaitan:

"Namun jika SPRM masih terus membuat kenyataan tanpa siasatan kita akan menguruskan dengan pendekatan lain.

"SPRM tak mampu menongkat kerajaan yang rapuh. Jadi kalau ada saki baki wibawa dan integriti, pertahankan. Kerajaan boleh silih berganti," katanya.

Natrah sebelum ini mendakwa wujud cubaan sogokan untuk mengalihkan sokongan kepada Muhyiddin dan laporan kepada SPRM dibuat pada Ahad.

Suruhanjaya itu menerusi kenyataan berkata, Natrah menafikan kepada pihaknya ada menerima tawaran RM10 juta oleh dua individu yang mempelawanya lompat parti seperti didakwa satu akaun Facebook Ops Johor.