DUN Perak dapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara

Mohammad Zahir (empat dari kanan) bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tiga dari kana) bersama barisan panel yang terlibat dalam Seminar Hari Wanita Sedunia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh pada Isnin.
Mohammad Zahir (empat dari kanan) bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tiga dari kana) bersama barisan panel yang terlibat dalam Seminar Hari Wanita Sedunia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sedang mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pejabat Peguam Negara agar Persidangan Dewan Negeri dapat diadakan dalam tempoh darurat ini.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah menerima banyak pandangan dan cadangan daripada wakil rakyat yang mewakili semua parti di negeri ini agar Sidang DUN dapat diadakan segera.

Menurutnya, perkara itu telah pun dibawa kepada Penasihat Undang-undang yang kemudiannya dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk kepastian sama ada Sidang DUN boleh diadakan di Perak.

"Jadi kita masih lagi menunggu pandangan daripada Pejabat Peguam Negara, setakat ini belum ada perkembangan lagi dan saya pun masih belum dimaklumkan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.

"Insya-ALLAH keputusannya mungkin dalam masa terdekat ini, selepas itu kita akan lihat dan buat pertimbangan serta berbincang bersama Menteri Besar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hari Wanita Sedunia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh pada Isnin.

Beliau berkata, persidangan DUN Perak sepatutnya diadakan selewat-lewatnya Jun ini selepas persidangan terakhir pada Disember lalu.

Katanya, jika Persidangan Dewan Negeri tidak dapat diadakan dalam tempoh itu disebabkan kepatuhan undang-undang, pihaknya akan mengesyorkan kaedah lain, satu daripadanya mengadakan perjumpaan bersama kalangan ahli-ahli Dewan di luar tatacara Dewan Negeri.

"Itu masih lagi di peringkat cadangan, ia tertakluk kepada pandangan Pejabat Peguam Negara nanti.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya boleh kata, perjumpaan itu boleh dijadikan satu praktis yang baik sekali gus membuka ruang kepada ahli-ahli dewan bertanyakan soalan dan seterusnya di pihak kerajaan akan berikan jawapan.

"Ini langkah untuk pastikan masalah-masalah rakyat yang dibawa dapat diatasi dan diselesaikan dengan satu cara yang lebih 'rasmi'," katanya.

Kali terakhir Persidangan Dewan Negeri berlangsung pada Disember lalu bagi pembentangan Belanjawan 2021 negeri Perak.