PH mahu taklimat program vaksin dibentang di Parlimen

FAHMI FADZIL
FAHMI FADZIL
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi taklimat kepada semua ahli Parlimen pembangkang mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Parlimen pada 18 Mac.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, ini bercanggah dengan dakwaan Khairy Jamaluddin bahawa tiada respons diberikan oleh Anwar berhubung taklimat kepada ketua pembangkang itu dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

"Saya ambil maklum ciapan YB Khairy Jamaluddin pada 7 Mac yang merujuk surat beliau kepada Ketua Pembangkang bertarikh 26 Februari, mencadangkan pembentangan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan buat pimpinan utama Pakatan Harapan," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Fahmi berkata, surat Khairy Jamaluddin diterima oleh ibu pejabat PKR pada 2 Mac, dua hari sebelum pertemuan pemimpin PH dengan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, bagi memohon kebenaran agar Parlimen bersidang semula pada 18 Mac.

Menurutnya, ia disusuli mesyuarat Majlis Presiden PH di mana pimpinannnya bersetuju taklimat tersebut tidak dikhususkan buat pimpinan utama sahaja tetapi diberi kepada semua ahli Parlimen pembangkang di Parlimen pada 18 Mac.

"Ini untuk memastikan semua ahli Parlimen pembangkang akan dapat bersama membantu usaha memerangi Covid-19, termasuk dalam isu program imunisasi ini," katanya.

Beliau berkata, keputusan tersebut disampaikan kepada Khairy Jamaluddin dalam surat bertarikh 6 Mac oleh Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Keadilan (PKR) dan seluruh blok pembangkang bersedia memainkan peranan kami dalam perang 'Covid-19' ini dan kami menunggu taklimat dan perbincangan dengan YB Khairy Jamaluddin pada 18 Mac, Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tarikh persidangan Parlimen berikutnya masih belum diumumkan, walaupun Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu memutuskan bahawa Parlimen boleh bersidang semula dalam tempoh darurat.