Pemerkasaan wanita terus jadi agenda penting negara

Muhyiddin - Foto Fail Bernama
Muhyiddin - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita dan akan memastikan ia terus menjadi agenda penting negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting bukan sahaja bagi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Dapatan kajian menjangkakan bahawa pertambahan penyertaan 30 peratus wanita dalam pasaran buruh Malaysia, mampu meningkatkan GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara antara tujuh hingga 12 peratus setahun,” katanya dalam rakaman ucapan sempena sambutan Hari Wanita 2021 yang disiarkan di stesen-stesen televisyen pada Isnin.

Muhyiddin berkata, walaupun kejayaan demi kejayaan dicapai, tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana mereka masih terbelenggu dengan pelbagai isu termasuk stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan mereka dalam bidang-bidang tertentu kerana sering dikaitkan dengan peranan tradisi khususnya dalam penjagaan dan pengasuhan.

“Kecenderungan mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja. Isu gejala sosial seperti penderaan anak, ‘sugar daddy’ dan sumbang mahram juga merisaukan kita kerana golongan wanita turut menjadi mangsa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang juga masih kurang diberikan perhatian sepenuhnya.

“Contohnya, saya difahamkan masih ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP),” katanya.

Muhyiddin berkata, sehingga Oktober 2020, hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus ALP wanita.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, ramai wanita bekerjaya menghadapi isu beban berganda yang mereka perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga pada satu-satu masa.

Berdasarkan dapatan kajian katanya, didapati wanita meluangkan masa lebih 63.6 peratus berbanding lelaki dalam tugasan penjagaan yang tidak berbayar.

Muhyiddin turut menarik perhatian mengenai kurangnya penglibatan semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita.

“Secara tidak langsung, silent motherhood penalty dilihat seolah-olah menjadi suatu perihal yang diterima oleh semua pihak,” katanya.

Tambahnya, pandemik Covid-19 juga telah menyebabkan isu-isu berkenaan semakin kritikal dan ketara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beberapa kemudahan diumum kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi melalui inisiatif Prihatin, Penjana, Permai, MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Eknonomi Digital Malaysia selain Belanjawan 2021 yang memberi faedah secara langsung kepada wanita dalam fasa pemulihan negara akibat pandemik Covid-19.

“Bagi memastikan pemerkasaan wanita terus menjadi agenda penting negara, saya menyambut baik cadangan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun supaya Model Pemerkasaan Wanita menjadi pemacu pembangunan wanita di negara ini.

“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif. Dengan inisiatif ini lebih ramai wanita bangkit mendepani cabaran semasa,” katanya.

Sambutan Hari Wanita tahun ini bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’. - Bernama