95 peratus rakyat Kedah patuh SOP: Polis

Hasanuddin menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 'frontliners' Peringkat Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar pada Isnin.
Hasanuddin menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 'frontliners' Peringkat Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah meneruskan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti biasa agar rakyat tidak melakukan kesalahan berulang sehingga boleh dikompaun sehingga RM10,000 bermula Khamis ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sehingga kini 95 peratus rakyat di negeri ini mematuhi SOP namun masih ada segelintir yang ingkar kepada arahan kerajaan.

Menurutnya, sejak pemantauan dilakukan oleh polis di Kedah, jumlah individu yang dikompaun semakin hari semakin menurun berikutan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk mematuhi SOP meningkat.

"Pemantauan akan dijalankan seperti biasa. Seperti arahan oleh kerajaan (selepas kompaun dinaikkan sehingga RM10,000) kesalahan kedua, ketiga akan diambil tindakan. Jumlah kompaun yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukannya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kalau lakukan kesalahan, tak makan nasihat akan diambil tindakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 'frontliners' Peringkat Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas individu yang melanggar SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 akan berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, sebagai contoh kes kelab malam yang dibuka di Langkawi sebelum ini telah dikompaun kerana masih belum dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, jika kelab malam tersebut melakukan kesalahan berulang, tidak mustahil mereka akan dikenakan kompaun lebih tinggi oleh KKM.

Terdahulu, beliau menjadi individu pertama dari IPK Kedah yang menerima vaksin pada Isnin bersama 120 pegawai dan anggota.

Kata Hasanuddin, seramai 4,477 pegawai dan anggota polis Kedah akan menerima vaksin sebagai usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman semua petugas dilindungi daripada dijangkiti Covid-19.