X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka rendah, dolar AS terus mengukuh

Mata wang tempatan menyusut kepada 4.0750/0780 berbanding dolar AS daripada 4.0720/0760 ketika ditutup pada petang Jumaat.
A
A

URUS niaga ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini.

Para peniaga berkata, dolar AS terus mengukuh berikutan peningkatan kadar perolehan Perbendaharaan AS terus menguji sentimen risiko aset bersilang dengan Kongres AS bercadang menghantar rang undang-undang pelan rangsangan bernilai AS$1.9 trilion (RM7.7 trilion) kepada Presiden Joe Biden untuk ditandatangani.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0750/0780 berbanding dolar AS daripada 4.0720/0760 ketika ditutup pada petang Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, laporan pengangguran AS mendedahkan pemulihan pekerjaan yang lebih kukuh daripada jangkaan untuk bulan Februari serta jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar AS untuk tahun ini akan meningkat.

Ini juga antara sebab yang menjuruskan kepada kelemahan ringgit, katanya.

Namun, beliau turut mengingatkan bahawa harga minyak melonjak lebih tinggi pagi ini selepas pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran melancarkan serangan ke atas loji minyak dan pangkalan tentera Arab Saudi.

"Dengan OPEC meneruskan dasar yang ketat ke atas pengeluaran minyak serta tindak balas penawaran minyak shal Amerika Syarikat yang tidak berubah terhadap harga yang tinggi, sebarang gangguan ke atas rantaian bekalan Timur Tengah boleh melonjakkan harga, sekali gus dapat menyokong mata wang tempatan,” kata beliau.

Minyak mentah Brent mengukuh 2.02 peratus kepada AS$70.76 (RM289) setong.

Sementara itu, ringgit bergerak rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0379/0412 daripada 3.0359/0395 pada Jumaat dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.7599/7630 daripada 3.7544/7584.

Ringgit lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.6455/6513 daripada 5.6267/6338 dan merosot berbanding euro kepada 4.8598/8651 daripada 4.8563/8627. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!