X

Kindly register in order to view this article
!

4,070 pelajar UMP dijangka kembali ke kampus berperingkat

Yuserrie (depan, dua dari kanan) bersama Mansor (depan, dua dari kiri) menyantuni petugas barisan hadapan UMP yang membantu proses kemasukkan pelajar ke kampus UMP pada Sabtu.
A
A

KUANTAN - Seramai 4,070 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) termasuk dari Sabah dan Sarawak dijangka kembali ke kampus secara berperingkat bermula Sabtu lalu hingga 21 Mac ini.

Mereka yang diberi kebenaran untuk kembali ke kampus secara fizikal membabitkan enam kategori pelajar berdasarkan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumi), Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, kumpulan itu melibatkan semua pelajar Program Teknologi termasuk pelajar baharu kemasukan Februari bagi semester II, sesi akademik 2020/2021.

Menurutnya, turut kembali semula pelajar Program Kerjasama UMP-Universiti Jerman termasuk pelajar baharu kemasukan Februari bagi semester II, sesi akademik 2020/2021), pelajar tahun tiga bagi Program Teknologi Kejuruteraan, Program Pengurusan Teknologi Industri dan Fakulti Sains dan Teknologi Industri "Bagi pelajar tahun akhir Kolej Kejuruteraan, pelajar tahun akhir program diploma dan pelajar baharu antarabangsa kemasukan sesi akademik 2020/2021 kecuali dari United Kingdom turut diarah kembali ke kampus.

"Pelajar yang tidak mempunyai akses internet dan tidak mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dipertimbangkan untuk dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Task Force Pengurusan Pelajar (Normal Baharu) berkata, pihak universiti telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Isolasi bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sepanjang tempoh isolasi.

Katanya, pihak Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pelajar (Normal Baharu) juga telah menghasilkan buku garis panduan kemasukan pelajar ke kampus bagi rujukan pelajar dan pihak berkaitan.

"Bagi membantu pelajar yang memerlukan, pihak UMP akan menyediakan perkhidmatan bas kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak serta pelajar antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UMP dengan kerjasama Yayasan UMP.

"Saya menghargai komitmen para petugas yang berganding bahu memastikan semua urusan kemasukan pelajar berjalan lancar demi memastikan kampus sentiasa selamat dan bebas daripada penularan Covid-19," katanya.

Yuserrie berkata, beliau berpuas hati dengan proses kembali ke kampus bagi pelajar UMP yang bermula pada Sabtu apabila ia berjalan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Profesor Madya Dr Mansor Sulaiman berkata, kehadiran pelajar ke kampus menuntut pihak universiti untuk lebih berwaspada bagi memastikan UMP bebas daripada ancaman pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada petugas barisan hadapan UMP, sukarelawan staf dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam bergerak bersama memudah cara urusan-urusan berkaitan kesejahteraan kampus, kebajikan mahasiswa, pematuhan SOP dan sebagainya.

Beliau berkata, semua pelajar diwajibkan menjalani saringan kesihatan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) mengikut kategori tahap kesihatan bagi tujuan pemantauan dalam tempoh isolasi selama 10 hari di residen pelajar yang telah ditetapkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!