25 tahun Mastinah dalam bidang automotif

Mastinah tidak malu belajar mengenai sesuatu daripada mekanik di bengkel sekiranya ada yang tidak difahami atau tidak diketahuinya.
Mastinah tidak malu belajar mengenai sesuatu daripada mekanik di bengkel sekiranya ada yang tidak difahami atau tidak diketahuinya.
A
A
A

KUALA LANGAT - “Eh kamu ni wanita boleh ke baiki enjin ni?” Itu persoalan yang sering dilontarkan pelanggan kepada Mastinah Mohd Sani, 48, pemilik sebuah bengkel kenderaan yang terletak di Jalan Sultan Alam Shah Kanchong Darat, Banting di sini.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Azam Motor itu berkata, persepsi kaum Adam kepadanya akan dibalas dengan sabar mengikut caranya tersendiri.

Bukan mudah untuk seseorang wanita berada dalam dunia yang kebiasaannya dipelopori lelaki namun bagi Mastinah, membabitkan diri selama hampir 25 tahun dalam bidang automotif bukanlah perkara sukar malah beliau kini boleh berbangga apabila sudah membuka tiga lagi cawangan bengkel kenderaan di negeri ini.

Album kenangan Mastinah bersama sebahagian daripada 68 pekerja yang kesemuanya adalah lelaki.
Album kenangan Mastinah bersama sebahagian daripada 68 pekerja yang kesemuanya adalah lelaki.

Memulakan kerjaya sebagai guru Matematik di sebuah sekolah di Sepang, Selangor pada tahun 1991, Mastinah kemudian berhijrah daripada bidang perguruan menjadi ejen insurans.

Ketika bergelar ejen insurans itulah beliau mula berjinak-jinak dalam dunia automotif dan mempelajari selok-belok pengurusan di bengkel kenderaan milik suaminya, Mispan Ribut.

Ibu kepada lima anak dan tiga cucu itu berkata, pada awalnya beliau memasuki bidang automotif untuk membantu suami menguruskan syarikat dengan lebih baik.

Hasilnya, beliau dapat mengenal pasti kelemahan sedia ada dan berjaya mengembangkan syarikat itu yang pada awalnya hanya mempunyai dua pekerja kepada 68 kakitangan di bawah seliaannya ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM20,000, Alhamdulillah kini saya merupakan pemegang syer terbesar dalam syarikat yang menawarkan perkhidmatan membaiki kenderaan daripada motosikal hinggalah jentera berat, tayar, pendingin hawa, hidraulik, mengecat dan pengubahsuaian kenderaan lama dan penjualan alat ganti kenderaan.

“Memang diakui banyak cabarannya apabila seorang wanita berada dalam dunia kerjaya lelaki namun pengalaman semangat ingin mencuba banyak membantu saya,” katanya.

Mastinah yang berkelulusan dalam bidang perakaunan berkata, beliau tidak malu belajar mengenai sesuatu daripada mekanik di bengkel sekiranya ada yang tidak difahami.

“Saya biasanya duduk di bahagian service advisor, jadi hari-hari akan jumpa dan dengar masalah kenderaan dihadapi pelanggan.

“Lama-lama saya tahu banyak perkara, bila pelanggan beritahu saja apa masalah kenderaan, saya sudah tahu apa yang perlu diperbaiki,” katanya.

Mastinah yang merupakan tenaga pengajar automatif berkata, bagi memantapkan ilmu yang ada katanya, beliau banyak menghadiri kursus dikendalikan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya lagi, untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut, perlu mempunyai jiwa, minat, semangat kental dan ada perasaan ingin tahu.

“Menjadi prinsip dalam hidup saya sebagai wanita kita kena berani dan ambil peluang.

“Jangan jadikan gender sebagai penghalang, sebenarnya ramai wanita Malaysia lebih ke depan,” katanya.