Gesa operasi UTC ditukar pada waktu asal

A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Usahawan Anggerik Mall (PUAM) menggesa waktu operasi di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor@Anggerik Mall diselaraskan dan ditukar kembali kepada waktu asal.

Pengerusinya, Hisham Hashim berkata, gesaan dibuat ekoran penukaran waktu operasi terbaharu bukan saja menjejaskan hasil jualan peniaga di kompleks terbabit, malah menyukarkan orang awam yang datang berurusan di situ.

Beliau berkata, penukaran waktu operasi UTC Selangor itu bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini ia juga sudah ditukar sebanyak dua kali.

Menurutnya, waktu operasi awal adalah pada jam 10 pagi ke 10 malam, sebelum ditukar kepada jam 8 pagi hingga 7 petang.

Katanya, terkini, waktu operasi ditukar lagi kepada jam 1 petang hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Khamis, manakala hari Jumaat ia beroperasi jam 2.45 petang hingga 10 malam.

Bagi hari Sabtu dan Ahad pula katanya, waktu operasi ditetapkan pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Penukaran waktu operasi yang terkini sangat memberi kesan kepada kami sebagai peniaga di sini... Jualan kami merosot hampir 40 peratus selepas ia (operasi waktu baharu) dikuatkuasakan.

"Pengunjung juga tidak berpuas hati kerana rata-rata mereka datang sejak awal pagi untuk beratur di kaunter UTC di sini. tapi operasi hanya bermula pada jam 1 petang," katanya memberitahu waktu operasi UTC Selangor yang tidak seragam itu menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tiada kompleks perniagaan yang memulakan operasi pada jam 1 petang, sedangkan waktu puncak adalah dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Dari kajian yang PUAM buat, kami dapati hanya 10 peratus pengunjung yang berurusan pada jam 8 malam hingga 10 malam.

"Oleh itu, kami khususnya para usahawan di UTC Selangor@Anggerik Mall merayu pihak berkaitan untuk meneliti semula cadangan waktu operasi yang baharu ini dan ditukar kembali kepada jam 8 pagi hingga 7 petang setiap hari," katanya ketika ditemui di kompleks itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak melihat impak positif pelaksanaan waktu baharu ini, malah UTC yang sepatutnya memudahkan orang ramai kini dilihat membebankan.

Susulan itu, Hisham berkata, PUAM turut menjalankan petisyen pungutan suara serta mengumpul tandatangan peniaga di sini sebagai rayuan kepada pihak berkaitan untuk mempertimbangkan permohonan dibuat termasuk menyelaraskan semua waktu operasi UTC seluruh negara.

"Petisyen ini akan kita hantar hari ini kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan pengurusan UTC,"katanya memberitahu UTC@Anggerik Mall menempatkan seramai 70 usahawan.

UTC Selangor@Anggerik Mall dibuka secara rasmi pada 15 September 2018 selepas kerja-kerja menaik taraf dilakukan di kompleks perniagaan yang dahulunya dikenali sebagai Anggerik Mall.

UTC Selangor menghimpunkan perkhidmatan sebanyak 17 agensi antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Klinik Kesihatan serta Jabatan Pengangkutan Jalan di bawah satu bumbung.

#shahalam #utcselangor Persatuan Usahawan Anggerik Mall (PUAM) menggesa waktu operasi di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor@Anggerik Mall diselaraskan dan ditukar kembali kepada waktu asal. [ARTIKEL PENUH:https://www.sinarharian.com.my/article/12738/EDISI/Selangor-KL/Gesa-operasi-UTC-ditukar-pada-waktu-asal] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor KL HASNIZA HUSSAIN

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Wednesday, February 13, 2019