Muhyiddin makin terdesak, sanggup terima konco DAP

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan bagi mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga sanggup menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menyertai parti itu.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika sebelum ini Bersatu menabur fitnah kononnya UMNO sedia bekerjasama dengan DAP untuk menjadi kerajaan namun situasi sebaliknya berlaku.

"Saya boleh katakan Muhyiddin dan Bersatu kini sudah kelam kabut untuk memastikan mereka terus berkuasa sehingga terpaksa menerima penyertaan ADUN Buntong, S Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong bersama mereka.

"Bila sudah terdesak maka matlamat boleh menghalalkan cara. Sebelum ini mereka menjaja cerita dan membidas UMNO kononnya sanggup bersekongkol dengan DAP.

"Tapi sekarang siapa yang sebenarnya cakap tak serupa bikin?" katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Jelas Nur Jazlan, Muhyiddin dan PN yang semakin bimbang dengan keputusan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dilihat sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari sokongan lain.

Ujar beliau, kerana itu Muhyiddin sanggup menerima dua wakil rakyat dari PKR iaitu Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Shien yang berpaling tadah menyokong kerajaan.

"Saya percaya sekarang ini Muhyiddin dan Kerajaan PN akan 'sapu' sesiapa saja yang nak sokong mereka, tak kira DAP ke, PKR ke, Amanah ke atau sesiapa sahaja yang boleh selamatkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah saya tidak hairan apabila Muhyiddin terima parti Gerakan yang sudah tak bermaya, bekas ADUN DAP dan juga wakil rakyat PKR," katanya.