Malaysia perlu contohi negara luar urus kes salah laku

Polis dan pihak berkuasa lain perlu tegas dan berani mencegah perkara ini tanpa mengira kedudukan mereka. Gambar kecil: Mustapha
Polis dan pihak berkuasa lain perlu tegas dan berani mencegah perkara ini tanpa mengira kedudukan mereka. Gambar kecil: Mustapha
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat perlu melaporkan salah laku rasuah sama ada dalam perkhidmatan kerajaan, swasta dan persendirian.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, Malaysia seharusnya mengambil contoh beberapa negara luar termasuk negara ASEAN bagaimana mereka menguruskan salah laku rasuah.

“Usaha membanteras rasuah perlu menjadi dasar bagi memperkukuhkan kestabilan negara. Oleh itu rakyat perlu bangkit melaporkan salah laku itu bagi menyekat daripada menular,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Beliau mengulas usaha Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menggerakkan #Rasuah Busters bagi membanteras aktiviti korupsi dalam masyarakat.

Mengulas lanjut katanya, rasuah merupakan wabak yang perlu dicegah daripada peringkat awal dan perlu bersandarkan peraturan tegas.

Beliau yang juga Ahli Panel Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) berkata, rasuah juga boleh merosakkan pentadbiran negara jika dibiarkan pihak yang berkepentingan menyalahgunakan kedudukannya dan jawatan yang disandang semata mata untuk kepentingan peribadi.

“Rasuah boleh menggugat kedaulatan negara. Polis dan pihak berkuasa lain perlu tegas dan berani mencegah perkara ini tanpa mengira kedudukan mereka.

“Banyak negara luar mengambil tindakan ke atas mereka yang berkuasa termasuk tokoh politik kerana salah guna kedudukan.

Artikel Berkaitan:

“Ada negara yang begitu tegas dalam soal rasuah termasuk Malaysia dan ini amat baik kerana dapat meyakinkan pelabur untuk melabur dalam negara kita.

“Jadi usaha membanteras rasuah perlu berterusan dengan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai. Kempen besar-besaran perlu dilakukan dan keterlibatan pemimpin utama negara perlu bagi menggerakkan wawasan mencegah rasuah di semua peringkat,” katanya.