Setuju saranan calon PRU15 bebas skandal

Parti politik perlu berani melakukan perubahan supaya imej parti politik kekal bersih dan disanjung masyarakat.
Parti politik perlu berani melakukan perubahan supaya imej parti politik kekal bersih dan disanjung masyarakat.
A
A
A

SETIAP parti politik di negara ini wajib menyokong saranan tokoh politik veteran, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai pemilihan calon yang bebas skandal untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Seperti yang ditegas wanita besi itu, ia adalah soal integriti yang tidak harus dipandang ringan oleh sesiapa pun.

Kenyataan Rafidah memang mempunyai asas yang kuat kerana calon yang terpalit kes rasuah ataupun sedang dibicarakan di mahkamah akan menjadi liabiliti kepada parti yang bertanding.

Ia juga akan menghilangkan keyakinan pengundi untuk memilih calon tersebut untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Memang ada kata-kata yang sering kita dengar, seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

Namun apa yang lebih baik adalah memilih muka baharu, calon muda, segar, bersemangat dan membawa agenda perubahan untuk kelangsungan parti.

Ramai lagi calon-calon yang berwibawa boleh ditonjolkan selain pemimpin-pemimpin lama yang masih terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan.

Untuk membolehkan Malaysia terus bergerak ke depan dan maju pelbagai sektor, isu integriti ini perlu diselesaikan segera kerana jika tidak kita akan terus dibelenggu isu sama sampai bila-bila.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, dengan tanda-tanda PRU15 yang mungkin boleh diadakan dalam masa terdekat, adalah amat wajar setiap parti politik mengisytiharkan mereka tidak akan meletakkan calon-calon bermasalah itu.

Parti politik perlu berani melakukan perubahan supaya imej parti politik kekal bersih dan disanjung masyarakat.

Kepada pemimpin politik pula, sedarlah diri. Jika terpalit dengan pelbagai skandal dan masih aktif dengan perbuatan rasuah dan penyelewengan, maka berhentilah berbuat demikian dan lebih molek bersaralah daripada politik.

Berilah peluang kepada mereka yang benar-benar bersih, amanah dan mempunyai jiwa kepimpinan sejati untuk memacu Malaysia ke arah lebih baik.