Kita hanyalah manusia biasa...

Orang ramai berpusu-pusu membanjiri setiap ruang kosong yang baru dikosongkan oleh pelanggan yang datang lebih awal.
Orang ramai berpusu-pusu membanjiri setiap ruang kosong yang baru dikosongkan oleh pelanggan yang datang lebih awal.
A
A
A

INI adalah Pasar Sama Gagah di pekan Permatang Pauh. Dan ia adalah Ahad pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan di seluruh negara.

Sudah tentu ini menjadi Ahad yang dinanti-nantikan oleh sesiapa sahaja selepas sekian lama terkurung dan terperap di rumah.

Orang ramai berpusu-pusu membanjiri setiap ruang kosong yang baru dikosongkan oleh pelanggan yang datang lebih awal.

Nasi lemak jangan cakaplah. Ada pelbagai jenis − gulai udang, gulai ikan kering, sambal sotong, sambal udang, sambal bilis, sambal telur, sambal bilis-telur, aduh! Tak tahu nak pilih yang mana satu.

Di satu sudut pula, roti canai mamak, roti canai Melayu, roti boom, roti jala, roti John, roti Arab, kebab, tosai, capati − mahu apa saja − semua ada.

Cucur udang, apom balik, apom manis, mi, mihun, laksa, kuih-muih seperti seri muka, bengkang ubi, pulut udang, tepung talam, karipap, cucur badak, turut merosakkan selera.

Mana mungkin dalam satu Ahad, boleh lahap semua hidangan ini sekali gus. Perut ini hanya boleh menerima sekadar yang termampu sahaja.

Yang lain-lainnya setakat boleh pandang dan ambil bau sahaja sepertimana kata Ahmad Nisfu dalam filem Tiga Abdul.

Artikel Berkaitan:

Bila makin mampir ke dalam, di kaki-kaki lima tempat orang ramai mundar-mandir, begitu ramai sekali manusia seolah-olah kita sudah bebas daripada pandemik Covid-19.

Dalam keadaan begitu, walaupun boleh dikatakan semuanya memakai pelitup muka namun penjarakan sosial sudah tidak terjarak lagi.

Semakin tinggi mentari, orang semakin bertambah dan laluan menjadi semakin sempit hinggakan sukar untuk pasangan suami isteri yang saling berpegangan tangan jalan seiringan lagi.

Ketika ini, terdengar siren Jabatan Penerangan Negeri yang memberi amaran agar orang ramai menjaga penjarakan sosial.

Rupanya mereka sedang memantau pergerakan di sekitar kawasan pasar menggunakan kamera litar tertutup.

Orang ramai mungkin tidak menyedari yang pergerakan dan tingkah laku mereka sedang diperhatikan tetapi bunyi siren dan laungan amaran menerusi cerowong pembesar suara langsung mengingatkan mereka tentang itu.

Mereka kembali awas. Masing-masing cuba sedaya upaya untuk menjaga jarak di antara satu sama lain walaupun hakikatnya sukar jika diambil kira betapa sempitnya laluan pejalan kaki di sekitar pasar itu.

Pemandangan ini sebenarnya sangat dahsyat memandangkan kita semua masih belum bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

Tapi orang sudah bosan terperap di rumah untuk sekian lama. Apa yang dapat di lihat di sini adalah manifestasi daripada kebosanan tersebut.

Dalam fikiran ramai apa salahnya mengambil sedikit risiko dengan bertandang ke pasar awam untuk membeli barangan dapur atau lepak menjamu selera dan minum kopi dengan rakan taulan yang sudah lama tidak ditemui.

Pada akhirnya kita semua adalah manusia. Dan manusia mahu bebas mundar-mandir ke sana-sini.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian