Tiga opsyen halang individu terbabit rasuah jadi calon PRU15

Gambar dari atas: Fahmi Fadzil, Datuk Seri Salahuddin Ayub
Gambar dari atas: Fahmi Fadzil, Datuk Seri Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Perlembagaan, pindaan undang-undang sedia ada atau membuat satu undang-undang baharu merupakan tiga opsyen untuk menghalang pemimpin politik yang terbabit rasuah atau sedang dibicarakan di mahkamah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tiga opsyen itu dikemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil tetapi perlu bersama isu seperti lompat parti, reformasi dana politik dan pembiayaan politik.

“(Ia) bukan isu kelayakan sahaja tetapi bagi saya perlu lebih meluas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tokoh politik veteran, Tan Sri Rafidah Aziz menggesa pemimpin politik yang terpalit dalam kes rasuah atau sedang dibicarakan di mahkamah supaya mengundurkan diri secara sukarela daripada terus menawarkan diri sebagai calon PRU15.

Menurut beliau, perkara itu membabitkan integriti yang tidak harus dipandang ringan.

Fahmi yang merupakan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pindaan kepada Perlembagaan itu melibatkan isu kelayakan calon.

Beliau turut menyatakan pandangan Rafidah adalah bernas tetapi undang-undang sedia ada tidak menghalang individu yang mempunyai kes rasuah bertanding.

“Apa yang saya faham mereka disabit kesalahan akan hadapi masalah bertanding, tetapi jika setakat ada kes itu tidak halang (untuk bertanding) dari segi undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Calon PRU15 bebas skandal

Pemimpin kini hanya pentingkan diri, konco

Fahmi turut menggesa ahli dan parti politik agar mengambil iktibar daripada sentimen rakyat semasa pra dan pasca PRU14 yang menolak pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah sehingga ke hari ini.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut bersetuju dengan cadangan supaya satu undang-undang baharu digubal bagi menghalang individu yang mempunyai kes rasuah di mahkamah daripada menjadi calon PRU.

“Kita bersedia berkongsi pandangan dan idea menggubal akta ini tetapi peranan undang-undang juga perlu kita hormati kerana kadang-kadang mereka disabitkan di Mahkamah Tinggi, tetapi masih lagi boleh buat rayuan.

“Maknanya mereka belum lagi didapati bersalah,” katanya.

Menurut Salahuddin, mungkin dari segi undang-undang individu itu telah menang jika beliau tidak disabitkan bersalah tetapi dari segi moral, ianya telah hancur.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan setiap parti juga mempunyai tanggungjawab moral bagi memastikan calon pada masa akan datang adalah yang bertanggungjawab.

“Parti itu sendiri mesti bertanggungjawab untuk memastikan calon menjalani satu proses yang telus supaya kita dapat memulakan satu langkah Malaysia Baharu bahawa calon yang akan datang ini boleh kita pastikan bersih dari segala salah laku,” katanya.