Covid-19 dan ikat unta

A
A
A

MINGGU lepas, media sosial dipenuhi dengan dua cerita utama iaitu perkongsian tentang anak-anak yang memasuki Tahun 1 dalam keadaan norma baharu dengan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan barisan hadapan yang mendapat suntikan pertama vaksin Covid-19.

Ketika itu, hanya 6.1 peratus rakyat Malaysia atau lebih 1.46 juta orang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Selain Malaysia, 49 negara lain juga telah memberi kelulusan malah ada negara telah pun menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech. Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan WHO untuk kegunaan kecemasan. Matlamat utama imunisasi Covid-19 adalah untuk melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.

Berdasarkan tinjauan dalam talian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 hingga 28 Disember 2020 yang melibatkan 212,000 responden, hanya 67 peratus bersetuju (90 peratus yakin vaksin berkesan) manakala 17 peratus tidak pasti (kerana risau kesan sampingan dan keberkesanan vaksin), dan 16 peratus lagi tidak bersetuju.

Memang benar, vaksin bukanlah penyelesaian kerana selepas disuntik, kita masih perlu mempraktikkan norma baharu. Tetapi itu bukan alasan untuk menolak pengambilan vaksin. Ada juga yang menolak vaksin kerana beranggapan bahawa ia merupakan konspirasi Yahudi sedangkan Israel ialah negara yang paling banyak memberi vaksin kepada rakyatnya dan kini sudah hampir 75 peratus rakyatnya divaksin.

Ada pula yang mendakwa vaksin yang diperoleh tidak halal walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan mengesahkan tiada unsur haram dan meragukan. Yang peliknya, apabila fatwa mengesahkan bahawa rokok itu haram kerana ia memudaratkan, mereka tidak pula berhenti merokok.

Kita perlu mengambil vaksin dan mematuhi SOP bagi membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan. Menurut konsep tawakal dalam Islam, kita harus mengikat unta terlebih dahulu sebelum bertawakal. Pengambilan vaksin dan pematuhan terhadap SOP adalah ikhtiar kita sebelum kita bertawakal.

Jika ada yang mengatakan cukuplah dengan pemakanan sunnah seperti habbatus sauda bagi melindungi daripada virus Covid-19 dan jika pergi solat Subuh di masjid tidak perlu pakai pelitup muka sebab akan dilindungi oleh malaikat dan ALLAH SWT, konsep itu juga tidak betul. Nabi Muhammad SAW pergi berperang juga memakai topi dan baju besi walaupun baginda dilindungi malaikat dan ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga salah faham bahawa perubatan moden ini bersumber dari Barat dan Yahudi. Sebenarnya perubatan moden juga bersumberkan tamadun Islam. Di banyak universiti tertua di Barat, kitab utama mereka ialah Al-Qanun fi al-tibb, ensiklopedia perubatan yang dikarang pada tahun 1025M oleh cendekiawan, ahli sains dan falsafah Islam yang merupakan doktor berbangsa Parsi, Ibnu Sina atau dikenali sebagai Avicenna.

Marilah kita bersatu hati dan tenaga, sama-sama terlibat dalam menangani wabak ini yang sudah mengganggu ekosistem negara kita dan seluruh dunia sejak setahun yang lepas. Rahmat dan bantuan ALLAH akan datang apabila semua umatnya bersatu hati, saling-mengasihi dan membantu antara satu sama lain.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia