Suami isteri maut, dua anak cedera dalam nahas jalan raya

Kemalangan yang menyebabkan pasangan suami isteri maut di lokasi kejadian.
Kemalangan yang menyebabkan pasangan suami isteri maut di lokasi kejadian.
A
A
A

KAJANG - Suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian di hadapan sebuah pasar raya di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala, dua anak mereka dirawat di Hospital Kajang.

"Siasatan awal mendapati, pemandu van berusia 28 tahun dari arah Semenyih menghala Kuala Lumpur telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan, sebelum masuk ke laluan bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Zaid berkata, kenderaan itu kemudian bertembung dengan Perodua Bezza yang dinaiki empat sekeluarga.

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia, manakala dua penumpang belakang cedera," katanya.

Tambah Mohd Zaid, pemandu van terbabit yang tidak cedera dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: