Bantu yakini rakyat dengan laksana inisiatif lebih terperinci

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta melaksanakan inisiatif dengan lebih terperinci berhubung pemberian vaksin Covid-19 supaya ia dapat meyakinkan kumpulan yang masih mempunyai syak wasangka terhadap vaksinasi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peningkatan keyakinan rakyat amatlah penting demi mencapai imuniti kelompok.

“Sama pentingnya juga dengan adanya program perhubungan awam yang besar melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam memberi penjelasan serta fakta mengenai Pelan Vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengenai persoalan ketelusan, beliau berkata, satu taklimat harian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui media wajar dilakukan dengan memberikan angka terkini dan juga maklumat lain mengenai kemajuan vaksinasi.

Menurutnya, taklimat berkenaan sama seperti pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai statistik harian Covid-19.

“Ini akan menghilangkan kecurigaan. Jika dalam pengumuman, perincian boleh diberikan mengenai jumlah vaksinasi sehari seperti berapa jumlah barisan depan dan berapa jumlah orang tua yang menerima.

“Dengan cara ini, keyakinan masyarakat terhadap program vaksinasi akan semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Lam Thye mahu kerajaan mendedahkan pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian 'potong barisan'.

Artikel Berkaitan:

“la penting untuk menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat serta memastikan terdapat kesaksamaan vaksin dalam program imunisasi berkenaan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memperincikan secara spesifik kumpulan yang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, program vaksinasi diberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang berusia 60 tahun ke atas.

“Mungkin barisan keutamaan ini dapat diperhalusi lagi untuk menempatkan mereka yang berusia 90-an pertama, diikuti 80-an dan kemudian 70-an.

“Itu akan menjadi sistem yang lebih adil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga meminta kerajaan supaya mempertimbangkan semula cadangan pihak swasta yang ingin mengendalikan sendiri suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya, sekiranya hospital swasta dapat melengkapi usaha kerajaan untuk memudahkan imunisasi lebih cepat, itu tidak menjadi masalah.

“Klinik swasta bukannya selalu pentingkan keuntungan. Doktor swasta juga telah mengambil sumpah etika Hippokratik.

“Jika mereka ingin membantu kerajaan dalam mempercepat proses vaksinasi, ia harus disambut baik. Kepantasan adalah hakikatnya. Semakin cepat, semakin selamat untuk semua orang kerana lebih ramai orang perlu diberi vaksin,” katanya.