Amirudin yakin Ampang masih kubu kuat PKR

Amirudin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada jawatankuasa PKR Ampang ketika majlis di Santai Ampang Point, Ampang pada Ahad.
Amirudin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada jawatankuasa PKR Ampang ketika majlis di Santai Ampang Point, Ampang pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin Parlimen Ampang masih kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sebahagian besar ahli jawatankuasa PKR di kawasan itu masih kekal memimpin parti dan hanya beberapa individu mengikut jejak langkah bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan parti tersebut.

Justeru, beliau meminta ahli PKR untuk terus ke hadapan dan fokus membina semula parti menerusi gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita akan tampilkan calon berkualiti, tapi bab calon nanti dulu. Kita nak kerja dulu nak pastikan Jentera Daerah Mengundi (JDM) ditubuhkan dulu, selesaikan daftar mengundi dan bilik gerakan.

"Parti lain nak buat, biarkan. Jika mereka langgar peraturan, kita bantah. Tetapi kita tak peduli sangat. Kita 'move on' dan buat kerja, kita bina lagi PKR di Ampang," katanya semasa Perasmian Bilik Gerakan Utama Parlimen Ampang di Santai Ampang Point di sini pada Ahad.

Amirudin berkata, beliau kini sedang mengatur siri jelajah bagi bertemu akar umbi untuk menyelesaikan isu gerak kerja sebelum isu pembahagian kerusi dibincangkan.

" Selepas ini saya akan turun di beberapa lagi Parlimen khususnya di kawasan PKR bertanding. Kalau PRU15 lambat lagi, kita akan ke semua Parlimen, nak tumpu kawasan yang ditandingi dan bakal ditandingi PKR.

"Saya nak selesaikan dahulu gerak kerja di peringkat bawah. kemudian akan bersama rakan PH untuk selesaikan pembahagian kerusi," katanya.

Artikel Berkaitan: