X

Kindly register in order to view this article
!

'Saya tak rasa pening atau sakit'

Mahathir ketika diberikan suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Sukan Langkawi pada Ahad.
A
A

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak berasa sakit dan atau pening ketika disuntik vaksin Covid-19 walaupun usianya sudah mencecah 95 tahun.

Beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin daerah Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi pada Ahad.

Menurut Dr Mahathir, dirinya juga tidak mengalami apa-apa kesan sampingan setelah diberikan suntikan berkenaan.

“Tak rasa apa pun, sekejap sangat cuma ketika jawab soalan petugas kesihatan saja ambil masa. Cucuk tak sampai satu minit pun, saya pun tak ada rasa pening atau kesan sampingan lain,” katanya,

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, pihaknya berharap rakyat menerima suntikan vaksin ini bagi mencegah jangkitan Covid-19 kerana ia memberi perlindungan kepada kita memerangi wabak itu.

“Vaksin ini diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipilih selepas jalani tapisan dan ia berkesan. Berasa lega sikitlah, boleh pergi mana-mana. Saya kini dilindungi daripada jangkitan Covid-19,” katanya berseloroh.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak meragui keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan kerana ia sudah disahkan selamat digunakan.

“Saya bersyukur dan ucap terima kasih kepada petugas kesihatan yang bertugas sepanjang masa untuk berikan suntikan vaksin kepada rakyat. Mereka terpaksa bekerja kuat berterusan kerana ramai perlu disuntik,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, proses suntikan vaksin kepada rakyat perlu dipercepatkan memandangkan penduduk negara ini hanya 32 juta berbanding Amerika Syarikat seramai 360 juta.

“Ada yang kurang yakin dan percaya suntikan vaksin akan menyebabkan lain-lain penyakit, ini tidak benar. Kalau ada kesan buruk akibat suntikan vaksin, sudah tentu kes dilaporkan, terutama di Amerika Syarikat yang sudah berikan suntikan kepada 20 juta penduduknya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin kerana dapat membantu kerajaan mempercepatkan proses pemberian vaksin mengikut fasa ditetapkan.

“Percayalah tak ada masalah apa-apa pun, termasuk kepada orang tua dan mereka boleh disuntik dalam keadaan selesa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!