PKPD Kampung Tanah Merah, Kota Marudu dilanjutkan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah yang sepatutnya tamat pada Isnin dilanjutkan mulai 9 hingga 22 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehingga kini, KKM melaksanakan sebanyak 319 ujian saringan. Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan masih terdapat 181 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan kes-kes positif masih dilaporkan di lokaliti ini," katanya dalam satu kenyataan berhubung PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Ahad.

Sebelum ini, PKPD dilaksanakan di kawasan berkenaan sejak 23 Februari dan dijadualkan tamat pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Padawan di Kuching, Sarawak akan ditamatkan pada Isnin seperti dijadualkan setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Menurutnya, KKM telah melaksanakan sebanyak 368 saringan di kawasan berkenaan dan 28 kes direkodkan, justeru kementerian itu mengesahkan terdapat penurunan kes selain kluster adalah terkawal.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 442 individu ditahan pada Sabtu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan 430 dikompaun, manakala 11 direman dan satu dijamin.

Artikel Berkaitan:

Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan dengan 144 kes, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (lapan) dan lain-lain (51), katanya.

Beliau berkata, seramai 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan serta empat kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng pada Sabtu. - Bernama