X

Kindly register in order to view this article
!

'Tak ada sebab kenapa nak tangguh Parlimen'

Dr Mahathir menuju ke Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Sukan Langkawi untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

LANGKAWI - Parlimen perlu bersidang segera bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan negara terutama selepas wakil rakyat diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada sebab untuk menangguhkan lagi sidang Parlimen setelah suntikan diberikan kepada semua wakil rakyat bagi mengekang risiko jangkitan.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, alasan berisiko kepada wakil rakyat berusia atau veteran juga tidak boleh diterima selepas suntikan diberikan.

“Kita perlu bincang pelbagai masalah dan cari penyelesaian dalam Parlimen. Umur saya sudah 95 (tahun) dan kerap hadir ke Parlimen. Sehingga kini tak sakit apa pun sama ada sebelum atau selepas disuntik vaksin.

"Nak bagi alasan kononnya ramai pemimpin berusia, itu bukan alasan untuk tidak adakan sidang Parlimen,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sehingga kini tiada rekod menunjukkan terdapat kes jangkitan berpunca dari Parlimen.

“Tak ada sebab kenapa kita nak tangguh Parlimen, kononnya kita terdedah kepada jangkitan kalau berada dalam dewan Parlimen.

"Sekarang, sudah ramai wakil rakyat terima vaksin, bermakna tak lagi terdedah pada risiko jangkitan. Keadaan lebih selamat dan boleh bersidang secepat mungkin,” katanya.

Dr Mahathir berkata, persidangan boleh diadakan mengikut norma baharu seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Sebelum diberikan suntikan pun kita sudah adakan peraturan bersidang dalam Parlimen, seperti mengasingkan kedudukan wakil rakyat supaya tak dijangkiti. Kalau mereka ke luar negara atau pergi tempat lain, risiko dijangkiti tetap ada,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya semua wakil rakyat akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan membantah peraturan yang ditetapkan.

“Boleh pasang penghadang plastik atau duduk jauh-jauh. Kita boleh terima dan tak akan bantah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!