Tak serik, bekas banduan ditahan bersama 44kg ganja

Ketulan mampat disyaki ganja yang ditemui dalam serbuan di Kampung Charuk Tenang Sik Kedah.
Ketulan mampat disyaki ganja yang ditemui dalam serbuan di Kampung Charuk Tenang Sik Kedah.
A
A
A

SIK - Dua lelaki termasuk seorang bekas banduan ditahan bersama 42 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 44 kilogram yang bernilai RM105,000 di sebuah pondok dekat Kampung Charuk Tenang pada 10.20 malam, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, bekas banduan yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 61 tahun itu ditahan bersama seorang penoreh getah, warganegara Thailand berusia 31 tahun.

Menurutnya, hasil serbuan menemui dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja dalam sebuah besen biru di pondok yang terletak bersebelahan dengan rumah suspek pertama.

"Pemeriksaan seterusnya menemui 40 ketulan mampat lagi disembunyikan dalam tong drum biru di pondok sama seberat anggaran keseluruhan 44 kilogram," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik pada Ahad.

Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,250 dan menyita sebuah kereta jenis Proton Saga bagi membantu siasatan.

Ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 44 kilogram bernilai kira-kira RM105,000 dirampas dekat Kampung Charuk Tenang, Sik, Kedah.
Ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 44 kilogram bernilai kira-kira RM105,000 dirampas dekat Kampung Charuk Tenang, Sik, Kedah.

Beliau berkata, aktiviti pengedaran dadah terbabit dipercayai aktif sejak setahun lalu.

Difahamkan, rumah suspek dijadikan transit pengedaran dadah di mana bekalan dikatakan diperoleh dari negara jiran sebelum dipasarkan ke sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ganja.

Suspek pertama dilaporkan pernah menerima hukuman 10 tahun penjara dan 10 sebatan kerana kesalahan mengedar dadah pada 1991.

Kedua-dua suspek direman sehingga 13 Mac depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.