Maqis serah ayam beku seludup untuk Zoo Negara

Saiful Yazan (tengah) bersama Roslan (kiri) menyerahkan ayam beku kepada Zoo Negara yang diwakili oleh, Dr Naim (kanan) di Pejabat Maqis Rantau Panjang.
Saiful Yazan (tengah) bersama Roslan (kiri) menyerahkan ayam beku kepada Zoo Negara yang diwakili oleh, Dr Naim (kanan) di Pejabat Maqis Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyerahkan ayam beku seludup bernilai RM400,000 yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) kepada Zoo Negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, serahan itu bagi memastikan bekalan makanan haiwan di Zoo Negara mencukupi.

"Setakat ini kita sudah membuat empat serahan kepada pihak Zoo Negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Ayam Beku Kepada Zoo Negara di Pejabat Maqis Rantau Panjang di sini pada Ahad.

Hadir sama Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At serta Pengarah Zoologi dan Vaterinar Zoo Negara, Dr Naim Ramli.

Menurutnya, kesemua ayam sejuk beku itu dirampas oleh pasukan keselamatan selepas cuba dibawa masuk secara tidak sah dari negara jiran menggunakan pangkalan-pangkalan haram di sekitar tebing Sungai Golok di sini.

Beliau berkata, kebanyakan bahan mentah ini dibawa masuk tanpa dokumen seperti permit import yang sah dari Maqis.

Saiful Yazan berkata, perbuatan mengimport ayam sejuk beku tanpa permit sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, sepanjang tahun 2020 sebanyak 176,655 kilogram (kg) ayam sejuk beku telah dirampas oleh pasukan keselamatan membabitkan nilai RM1.4 juta.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan terus bekerjasama dengan agensi keselamatan lain dalam membendung perkara ini.

"Isu halal merupakan perkara sensitif buat umat Islam dan Maqis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat," katanya.