Pindaan Akta 728 perkasa tugas Maqis

Saiful Yazan (kiri) memeriksa ayam beku yang akan diserahkan kepada Zoo Negara di Pejabat Maqis Rantau Panjang.
Saiful Yazan (kiri) memeriksa ayam beku yang akan diserahkan kepada Zoo Negara di Pejabat Maqis Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia2011 (Akta 728) dijangka memperkasakan lagi penugasan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam melakukan serbuan ke atas premis yang didakwa terlibat dengan penyeludupan produk pertanian, termasuk bekalan daging import.

Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, undang-undang ketika ini memperuntukkan agensi itu melakukan pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara, stesen kuarantin dan premis kuarantin milik pihak swasta.

Menurutnya, sebelum ini Maqis terpaksa melakukan serbuan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan polis.

"Melalui pindaan itu, kita boleh melakukan serbuan dan pemeriksaan secara terus ke atas premis yang didakwa terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Ayam Beku Kepada Zoo Negara di Pejabat Maqis Rantau Panjang di sini pada Ahad.

Hadir sama Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At serta Pengarah Zoologi dan Vaterina Zoo Negara, Dr Naim Ramli.

Menurutnya, selepas ini agensi sahabat Maqis dapat memberikan tumpuan pada tugas dalam kementerian mereka sementara kuasa Maqis meliputi seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan (Sabah).

Saiful Yazan berkata, bagaimanapun Sabah dan Sarawak memilih untuk menggunakan ordinan mereka sendiri.

Menurutnya, proses pindaan itu sudah berada dalam semakan dan penelitian dari Jabatan Peguam Negara sebelum dibentang ke Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Anggota Maqis yang terlibat dalam operasi dicadangkan dibekalkan dengan senjata api dan permohonan sudah diluluskan," katanya.

Saiful Yazan berkata, selepas ini operasi Maqis akan menjadi lebih agresif untuk memastikan keselamatan makanan negara berada pada tahap terbaik terutama dalam aspek halal.