Nyaris maut dirempuh, diseret lori

Rakaman CCTV menunjukkan lori tersebut merempuh Perodua Viva di persimpangan lampu isyarat di Jalan Magazine/Jalan Ria.
Rakaman CCTV menunjukkan lori tersebut merempuh Perodua Viva di persimpangan lampu isyarat di Jalan Magazine/Jalan Ria.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita nyaris maut selepas keretanya dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika berada di lampu isyarat di Jalan Magazine/Jalan Ria berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa berusia 25 tahun dirempuh dan diseret beberapa meter oleh sebuah lori lapan tan.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, Perodua Viva tersebut berpusing ke arah kiri lalu terlanggar sebuah motosikal yang turut berhenti di lampu isyarat berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku semasa Perodua Viva berkenaan dan beberapa kenderaan lain sedang berhenti di lampu isyarat. Lokasi kejadian merupakan jalan sehala iaitu dari Jalan Magazine menghala ke Jalan Gudwara.

"Selang beberapa minit, sebuah lori yang tidak berhenti telah melanggar Perodua Viva terbabit dari arah belakang menyebabkannya berpusing ke arah kiri lalu terlanggar sebuah motosikal. Lori tersebut turut mengheret kereta itu sebelum terbabas ke kanan jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut yang mana kesemua pemilik kenderaan yang terlibat telah membuat laporan polis.

"Semua kenderaan yang terlibat iaitu sebuah motosikal jenis Honda Wave, Perodua Viva dan lori jenis Nissan hanya mengalami kerosakan sahaja.

"Tiada kecederaan pada pemandu Perodua Viva, penunggang motosikal berusia 71 tahun dan pemandu lori dilaporkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Soffian berkata, siasatan mendapati lori tersebut mengalami brek bocor ketika kejadian menyebabkan pemandu tidak dapat memberhentikan kenderaannya.

"Kedua-dua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu yang sah. Polis hanya mengambil keterangan daripada semua yang terlibat termasuk pemandu lori berusia 61 tahun itu.

"Tiada tangkapan dilakukan. Bagaimanapun, kita sedang mengesan saksi awam selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.