Tuchel lega Thiago Silva hadir sesi latihan

Thiago Silva
Thiago Silva
A
A
A

KELIBAT pertahanan kental Chelsea, Thiago Silva pada sesi latihan pasukan, melegakan pengendali Thomas Tuchel menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Everton di Stamford Bridge pada awal pagi Selasa.

Menurut Tuchel, kehadiran Silva pada sesi latihan berkenaan pastinya memberikan berita gembira buat pasukan setelah tidak beraksi bersama skuad The Blues itu dalam tujuh perlawanan melibatkan semua pertandingan setakat ini.

Malah Tuchel tidak menolak kemungkinan pertahanan berusia 37 tahun itu bakal diturunkan bagi mengekang asakan-asakan The Toffees yang turut berada dalam momentum yang cukup baik ketika ini.

“Thiago telah menjalani latihan pertamanya bersama pasukan sebelum ini, namun dia tidak menamatkan latihan terakhir kerana kami tidak mahu menanggung risiko dan dia tidak ada bersama pasukan ketika kami menewaskan Liverpool 1-0 Jumaat lalu.

“Namun, setelah beberapa hari berehat, saya yakin dia akan cuba memberikan aksi terbaik ketika latihan untuk kembali dalam kesebelasan utama pasukan,” katanya.

Sepanjang ketiadaan Silva, Tuchel mengambil langkah berani mempertaruhkan Adreas Christensen bagi membentuk benteng kebal The Blues bersama Cesar Azpilicueta dan Antonio Rudiger.

Ternyata percaturan berkenaan ‘menjadi’ apabila menyaksikan Christensen mempamerkan aksi mantap bersama Azpilicueta dan Rudiger bagi mengemudi benteng pertahanan pasukan mengekang asakan-asakan lawan.

Chelsea yang kini berada pada kedudukan keempat EPL dengan 47 mata hanya dipisahkan dengan satu mata dengan Everton yang berada pada kedudukan kelima dengan 46 mata.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuchel menegaskan kehadiran semula Silva menyaksikan pihaknya kini memiliki lebih pilihan bagi menurunkan kesebelasan terbaik, khususnya bagi mengemudi benteng pertahanan Chelsea.

Katanya, bintang Denmark itu dilihat sebagai pemain yang berani selain memiliki keyakinan tinggi ketika beraksi.

“Christensen masuk pada pertengahan perlawanan ketika kita beraksi dengan Tottenham Hotspur 5 Februari lalu.

“Sejak itu, dia (Christensen), telah mempamerkan aksi mantap bagi membantu benteng pertahanan pasukan dan bagi saya dia juga sebahagian daripada kejayaan kami setakat ini,” katanya.