Nelayan asing guna bot klon, kaut hasil laut bernilai RM1.5 juta

Bot nelayan Vietnam ditahan pasukan Maritim di kedudukan kira-kira 40 batu nautika di Timur Laut Rompin pada Sabtu.
Bot nelayan Vietnam ditahan pasukan Maritim di kedudukan kira-kira 40 batu nautika di Timur Laut Rompin pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sekumpulan nelayan warga Vietnam dikesan berselindung di sebalik bot klon dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan untuk mengaut hasil laut di negara ini.

Bagaimanapun, taktik mereka berjaya dikesan apabila bot berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pada jam 7 pagi Sabtu.

Bot dikendalikan sepenuhnya warga Vietnam itu ditahan ketika berada di kedudukan kira-kira 40 batu nautika di Timur Laut Rompin dengan membawa peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, kumpulan nelayan terbabit ditahan ketika pasukan Maritim menjalankan rondaan Ops Kuda Laut di Perairan Pahang dan mengesan bot yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Ketika menghampiri bot terbabit, katanya, pihak berkuasa mendapati seramai 25 kru termasuk tekong berusia 19 hingga 59 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasil laut yang ditemui di dalam bot nelayan Vietnam ketika pemeriksaan dilakukan dalam pasukan Maritim di kedudukan kira-kira 40 batu nautika di Timur Laut Rompin pada Sabtu.
Hasil laut yang ditemui di dalam bot nelayan Vietnam ketika pemeriksaan dilakukan dalam pasukan Maritim di kedudukan kira-kira 40 batu nautika di Timur Laut Rompin pada Sabtu.

"Kita kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati dokumen yang dikemukakan tekong itu meragukan susulan nombor siri enjin bot berbeza dengan yang tercatat di dalam lesen.

"Kesemua mereka dibawa masuk ke Zon Maritim Kemaman untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan di Malaysia.

"Mereka juga boleh disabitkan dengan Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 6(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya.

Sementara itu, Amran berkata, taktik menggunakan nombor pendaftaran palsu atau bot klon menjadi salah satu modus operandi nelayan Vietnam untuk mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, sifat dan struktur fizikal bot nelayan Vietnam berbeza dengan bot nelayan tempatan serta kelakuan mereka yang mencurigakan membolehkan penguat kuasa menghidu aktiviti mereka di perairan negara.