Lapan ahli sindiket ditahan bersama dadah bernilai RM118,565

Shafee
Shafee
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan lapan lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui empat serbuan di beberapa lokasi bermula pada petang Sabtu hingga tengah malam Ahad.

Turut dirampas bersama suspek berusia 17 hingga 31 ialah 51 ialah dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai RM118,565.

Siasatan awal mendapati, dadah itu dibekalkan kepada pelanggan dalam pasaran tempatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, serbuan pertama, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 17 tahun di tepi jalan Kampung Permatang Batu pada jam 6.05 petang Sabtu.

"Ketika ditahan, kita merampas tiga paket mengandungi 906 gram methamphetamine dalam poket seluar dan dalam raga motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek.

"Turut dirampas, seutas rantai dan loket. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambahnya, dalam serbuan kedua, polis menahan dua lagi lelaki berusia 26 dan 17 tahun di tapak pembinaan di Taman Irama, Butterworth.

"Susulan tangkapan itu, polis ke sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan itu dan merampas 2,178.3 gram methamphetamine dan 112 gram heroin.

Artikel Berkaitan:

"Penahanan suspek itu juga membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun di Flat Desa Wawasan, Sungai Rambai.

"Bagaimanapun tiada rampasan dadah dilakukan ke atas lelaki yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu. Lelaki tersebut mempunyai enam rekod lampau melibatkan empat kes dadah dan dua kes jenayah.

"Ujian saringan air kencingnya negatif. Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vios dan seutas rantai leher," katanya.

Shafee berkata, susulan daripada itu juga, tiga suspek berusia 20, 22 dan 23 tahun ditahan dalam serbuan keempat di sebuah bengkel di Jalan Besar Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan pada tengah malam Ahad.

"Kita merampas 40 paket mengandungi heroin dan satu paket methamphetamine dengan jumlah berat 32.23 gram dan bernilai RM1,100. Ketiga-tiga mempunyai rekod jenayah lampau dan dua dari mereka positif dadah.

"Turut disita, tiga buah motosikal iaitu Yamaha 125zr, Honda Wave dan SYM. Kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.