Youtuber antara 12 ditahan kes gaduh di gelanggang futsal

Rakaman kes gaduh di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang tular di laman sosial.
Rakaman kes gaduh di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang tular di laman sosial.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seramai 12 individu termasuk seorang Youtuber ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kesemua individu itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang kira-kira jam 1 pagi Ahad.

"Kita akan memohon perintah reman esok (Isnin) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Abd Khalid dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pergaduhan itu berlaku selepas seorang remaja berusia 19 tahun melakukan terjahan keras terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun ketika perlawanan futsal pada jam 10.30 malam.

"Berlaku perselisihan faham dan pergelutan antara remaja dan lelaki itu sebelum seorang lelaki berusia 29 tahun daripada pasukan remaja berkenaan cuba meleraikan pergaduhan.

"Namun, lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan itu telah dipukul kira-kira 10 individu," katanya.

Abd Khalid berkata, akibat pergaduhan itu, dua lelaki terbabit kecuali remaja berkenaan cedera di kepala, kening, muka dan badan.

"Polis sudah menerima laporan daripada ketiga-tiga lelaki berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Video mengenai seorang Youtuber bersama beberapa rakannya didakwa memukul seorang lelaki ketika perlawanan futsal tular di media sosial.

Video berdurasi 31 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dilihat bergaduh di gelanggang futsal berkenaan.