Bekas UMNO masuk Bersatu: PH adakan mesyuarat lebih awal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyertaan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Bersatu akan dibahaskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PH yang dijangka akan diadakan lebih awal daripada dijadualkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau telah mengajukan isu terkini tersebut kepada Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan telah telah mendapat persetujuan untuk dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PH.

“Bagi pihak DAP, kami rasa perkara ini harus dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PH. Perkara ini saya dah bangkitkan kepada Perdana Menteri Pengerusi dan beliau telah setuju untuk adakan mesyuarat awal.

“Biar kita bincang perkara ini dalam mesyuarat tersebut, dengan semangat PH. Itu saja saya nak komen tentang perkembangan ini,” katanya ketika sidang media selepas majlis penyerahan cek kepada sekolah tahfiz berdaftar di Kementerian Kewangan hari ini.

Semalam, Bersatu telah menerima penyertaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid، Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Dalam pada itu، Guan Eng yang juga Timbalan Presiden PH ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor، mengenai perkahwinan bawah umur dua tahun lalu yang dilaporkan berkata, tidak salah untuk gadis berkahwin dengan perogolnya dan mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap.

“Merujuk kenyataan Shabudin itu, ia memang sesuatu yang saya kecam. Hari ini pun saya kecam.

“Saya tidak tahu sama ada beliau masih pegang pendirian sedemikian. Mungkin soalan ini harus dijawab oleh beliau sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga Naib Presiden Amanah turut senada dengan Guan Eng, menuntut satu mesyuarat Majlis Pimpinan PH mengenai isu lompat parti ini.

“Isu lompat parti tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO harus dikaji tujuan dan motif mereka menyertai Bersatu dan PH.Itu yang kita perlu bincang dan bahas dalam mesyuarat PH.

“Paling penting, mereka ini kena ingat tak semestinya dengan menyertai PH mereka akan bersih dan suci bagaikan malaikat daripada kesalahan-kesalahan lampau, perkara itu tidak akan berlaku sama sekali,” tegas Mujahid.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa sesiapa sahaja pemimpin yang menyertai PH harus yakin dan menerima apa yang diperjuangkan PH.

“Hal ini penting supaya tidak ada sebarang motif lain daripada penyertaan itu yang memungkinkan orang lain untuk mempersoalkan tentang moral penyertaan.

“Bahkan tak bermakna apabila berpindah kepada PH dapat mensucikan diri mereka daripada segala kesalahan yang pernah dilakukan dulu. Memang tak wajar jika mereka ingat masuk PH akan suci dan bersih serta tidak ada masalah malah akan jadi malaikat itu tidak.

“Apa sahaja kesalahan yang mereka buat pun dulu walaupun sudah masuk PH, mereka tetap akan menanggung kesalahan yang telah dilakukan sama ada dari segi kenyataan mahupun perkara lain,” katanya.

Tambahnya, setiap ahli baru yang menyertai PH wajib yakin dengan dasar dan perjuangan PH dan tidak mempunyai motif dan juga kepentingan lain.

“Bersatu sebagai salah satu komponen PH, saya yakin telah membuat penelitian-penelitian berhubung asas yang penting ini.

“Apa yang Guan Eng maklumkan bahawa perkara ini perlu diperbincangkan agar tidak berlaku salah guna untuk kepentingan lain tetapi mereka mesti meyakini dasar-dasar, menyokong dan juga dan juga menghayati perjuangan kita,” katanya.