Mayat wanita ditemui ketika serbuan banteras PATI

Mayat seorang wanita ditemui ketika serbuan Ops Benteng di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Sabtu. - Foto ATM
Mayat seorang wanita ditemui ketika serbuan Ops Benteng di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Sabtu. - Foto ATM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita ditemui ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan serbuan terhadap 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini menerusi Kota Tinggi di sini pada Sabtu.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia daripada Kem Terendak Melaka menerusi satu kenyataan berkata, PATI berkenaan cuba keluar dari laluan tidak sah di sektor Ops Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

"Anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan kehadiran bot sedang menurunkan PATI berhampiran kawasan pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. Hasil serbuan pada jam 5.40 pagi telah berjaya menahan seramai 13 PATI.

"Susulan itu, Tim QRF yang melakukan penjejakan telah mengesan kehadiran orang awam di dalam belukar berhampiran bangunan hotel terbiar di Tanjung Balau, Kota Tinggi.

"Hasil serbuan pada jam 9.30 pagi itu telah berjaya menahan 19 PATI. Manakala lima lagi PATI turut ditahan pada jam 10.40 pagi," kata kenyataan tersebut pada Ahad.

PATI yang ditahan dalam Ops Benteng di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Sabtu. - Foto ATM
PATI yang ditahan dalam Ops Benteng di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada Sabtu. - Foto ATM

Menurut kenyataan itu, ketika serbuan, pihak berkuasa menemui mayat seorang wanita dipercayai dari kumpulan yang sama dengan PATI yang ditahan.

"Kes penemuan mayat tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua 37 PATI ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 15 wanita berusia sekitar 21 hingga 51 tahun dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah," katanya.

Kenyataan itu berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 29,229.30 melibatkan wang tunai sebanyak RM1,903.30 selain mata wang Indonesia 31,986,300 rupiah (RM9,047.65) serta 31 buah telefon bimbit serta barangan kemas.

Katanya, semua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

"Laporan dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki Pati di sekitar kawasan tangkapan," kata kenyataan itu.