Bekas pemain ragbi kebangsaan 'Doc Malan' meninggal dunia

Mazlan Ismail - Foto Instagram docmalan
Mazlan Ismail - Foto Instagram docmalan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pemain ragbi kebangsaan, Dr Mazlan Ismail meninggal dunia akibat serangan strok pada jam 12.58 tengah malam Ahad di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini.

Allahyarham, 38, merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, meninggalkan seorang isteri, Azlina Mohd Ariff, 44.

Adik Allahyarham Muhammad Naimmi Ismail, 31, ketika dihubungi Bernama memaklumkan, jenazahnya akan dikebumikan di Taiping, Perak selepas solat Asar pada Ahad.

“Allahyarham telah menerima rawatan di hospital sejak Januari lepas selepas kesihatannya merosot, pihak hospital juga memberitahu keluarga kami bahawa arwah kena serangan jantung minggu lepas.

“Allahyarham merupakan seorang yang sangat komited dan tegas dalam kerjanya. Walaupun telah lama meninggalkan dunia ragbi, namun Allahyarham masih aktif dengan sukan kegemarannya itu, apabila sering bermain dan memberi tips berkaitan psikologi kepada ahli kelab ragbi Cobra Malaysia,” katanya.

Allahyarham yang terkenal dengan jolokan ‘Doc Malan’ dalam komuniti ragbi tanah air pernah mewakili negara bersama pasukan ragbi 7 sebelah di Sukan Komanwel di Manchester, England pada 2002 dan Sukan Asia Busan di Korea Selatan pada tahun sama, selain pernah menyarung jersi skuad 15 sebelah negara.

Sementara itu, Kesatuan Ragbi Malaysia dalam satu kenyataan merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian Mazlan sebagai kehilangan besar bagi sukan ragbi dan dunia akademik negara.

“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan di lapangkan kuburnya serta ditempatkan bersama hambanya yang bertakwa di syuhada,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: