Jangan sentuh Velella

Obor-obor spesies Velella ini mungkin tidak berbahaya kepada orang dewasa, tapi mungkin berbahaya kepada kanak-kanak. Gambar kecil: Zawawi
Obor-obor spesies Velella ini mungkin tidak berbahaya kepada orang dewasa, tapi mungkin berbahaya kepada kanak-kanak. Gambar kecil: Zawawi
A
A
A
KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang teruja melihat obor-obor cantik berwarna biru dinasihati menjauhi haiwan marin itu jika menemuinya sama ada dalam keadaan masih hidup atau sudah mati.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, pengunjung pantai dilarang memegang, menyentuh atau menyimpan obor-obor jenis Velella velella kerana ia mungkin berbahaya terutama kepada kanak-kanak.

“Obor-obor spesies Velella ini mungkin tidak berbahaya kepada orang dewasa, tetapi mungkin kepada kanak-kanak. Ia juga akan menyebabkan gatal-gatal kerana masih dalam kumpulan hydroid,” katanya.

Menurut Zawawi, Velella velella atau ‘by-the wind sailors’ kini dilaporkan ditemui terdampar di beberapa pantai di Terengganu iaitu Pantai Pandak Chendering, Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Rhu Muda Marang.

Beliau berkata, spesies itu biasanya terapung di tengah lautan namun keadaan angin dan ombak yang kuat dipercayai menjadi punca hidupan marin tersebut ditemui terdampar di pantai.

Perbezaan antara Velella dan portuguese man o' war.
Perbezaan antara Velella dan portuguese man o' war.

“Spesies ini juga berbeza dengan ‘portuguese man o' war’ yang ditemui di pantai Terengganu pada awal tahun lalu kerana Velella mempunyai layar manakala ‘portuguese man o' war’ mempunyai gelembung untuk terapung.

“Selain itu, ‘portuguese man o' war’ mempunyai ekor yang sangat beracun manakala Velella tidak mempunyai ekor,” katanya.

Justeru, Zawawi meminta orang ramai yang menemui spesies obor-obor supaya memaklumkan kepada Pejabat Perikanan berhampiran atau pihak berkuasa tempatan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak mengalami sesak nafas dan sakit pada bahagian dada selepas tersentuh obor-obor beracun dipercayai daripada spesies 'portuguese man o' war' ketika sedang mencari remis di Pantai Mangkuk, Setiu pada Jumaat.

Ibu saudaranya, Ain Farahana Mohd Rudin, 26, berkata, kejadian jam 6 petang itu berlaku dalam tempoh singkat sebelum anak saudaranya yang berusia enam tahun itu dikejarkan ke Hospital Setiu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangan panas, sesak nafas lepas sentuh obor-obor beracun