Kapal tangki ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Kapal tangki yang ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, Selangor pada Sabtu.
Kapal tangki yang ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, Selangor pada Sabtu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong dekat sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kapal tangki itu ditahan kira-kira jam 1.15 petang hasil perkongsian maklumat Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT).

Menurutnya, tindakan menerusi Op Ehsan itu mendapati kapal yang berdaftar di Hong Kong itu dikendalikan oleh 21 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 26 hingga 59 tahun.

"Kesemua kru merupakan warga China dan Bangladesh mempunyai dokumen diri yang sah.

Anggota maritim dengan kerjasama JLWT menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, Selangor pada Sabtu.
Anggota maritim dengan kerjasama JLWT menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, Selangor pada Sabtu.

"Pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rosli berkata, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga mendapati pelabuhan terakhir persinggahan kapal ini ialah Dumai, Indonesia dan sedang menuju ke Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh dari Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Katanya, jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.