Fokus kebajikan, kesejahteraan rakyat

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 yang memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi Malaysia tidak menghalang Kementerian Kewangan untuk berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat dan sektor peniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang tahun lalu.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, 2020 adalah tahun mencabar dan memberi kesan besar kepada rakyat, perniagaan serta ekonomi Malaysia.

Menurutnya, kerajaan memikul tanggungjawab berat untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi susulan kadar pengangguran yang meningkat ke tahap paling tinggi dalam masa sedekad iaitu 5.3 peratus pada Mei lalu.

“Banyak perniagaan menghadapi isu kelangsungan peniagaan dan melalui kajian yang dibuat, kira-kira 50 peratus rakyat hilang sumber pendapatan dan simpanan peribadi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan Mac tahun lalu.

“Untuk perniagaan pula, sebanyak 67.8 peratus syarikat tidak mendapat jualan atau pendapatan dalam tempoh tersebut dan 53.4 peratus syarikat tidak mampu bertahan lebih dari dua bulan.

“Berdasarkan kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), sebanyak 79.5 peratus perniagaan tidak dapat beroperasi melibatkan PKS mikro, manakala 70.8 peratus perniagaan ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Kewangan pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, ekonomi negara turut terjejas apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus, namun walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kerajaan optimis dengan melaksanakan pelan pemulihan ekonomi secara berfasa.

“Pelan pemulihan ekonomi ini telah diperkenalkan dengan menggunakan pendekatan 6R iaitu Resolve (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Penyusunan Semula).

Artikel Berkaitan:

Pemulihan“Strategi pemulihan ekonomi yang dilaksanakan nyata membuahkan hasil apabila pertumbuhan KDNK menunjukkan tanda pemulihan,” katanya.

Menurutnya, di bawah pendekatan Ketahanan, kerajaan memperkenalkan langkah-langkah untuk mencegah Covid-19 dengan mengumumkan PKP 1.0.

“Kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin PKS Tambahan bernilai RM260 bilion di bawah pendekatan Ketahanan bagi menangani kesan penutupan ekonomi untuk meyokong kelangsungan rakyat serta perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, fokus pakej rangsangan adalah untuk rakyat dalam bantuan tunai, Bantuan Prihatin Nasional (BPN), moratorium pinjaman dan sebagainya.

“Bagi perniagaan, kita cuba membantu melalui aliran tunai seperti pembiayaan dan bantuan langsung moratorium pinjaman, selain sokongan dari segi kos operasi perniagaan dan Program Subsidi Upah serta diskaun elektrik daripada kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Selepas itu, kita memasuki fasa Memulakan Semula yang menyaksikan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur. Selanjutnya, beransur ke peringkat Pemulihan iaitu kerajaan menggerakkan pakej rangsangan Penjana berjumlah RM35 bilion dan Kita Prihatin bernilai RM10 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, menerusi pendekatan Memperkasa, pihaknya cuba mengimbangi antara keperluan kapasiti kesihatan awam dan membina momentum pemulihan ekonomi serta membangunkan ketahanan masa depan melalui Belanjawan 202,1 selain Menyusun Semula struktur ekonomi melalui Ranca-ngan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Melalui Program Subsidi Upah, ia dapat dimanfaatkan oleh 2.7 juta pekerja melibatkan lebih 320,000 majikan, malah kadar pengangguran juga menurun 4.8 peratus melibatkan 772,900 penganggur pada Disember.

“Ia berdasarkan langkah Penjana Kerjaya termasuk program perantis dan peningkatan kemahiran serta latihan semula. Kita turut menubuhkan Majlis Pekerjaan Nasional (MPN) untuk mencipta pekerjaan baharu dan menyelamatkan pekerjaan,” katanya.

Bagi Bantuan Aliran Tunai pula, beliau berkata, kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman automatik selama enam bulan dan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi tahun 2021, Kementerian Kewangan akan menumpukan enam teras utama bagi memperkasakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, antaranya penciptaan pekerjaan, bantuan tunai, pendigitalan, transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), bantuan mikro dan PKS serta mempercepatkan projek.

“Melalui MPN, kita berhasrat mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu untuk rakyat melalui insentif pengambilan, kemahiran dan peningkatan kemahiran serta MySTEP. Insya-ALLAH, hasrat ini mampu dicapai.

“Bagi bantuan langsung dan usaha memudahcara aliran tunai rakyat, kita turut mempercepatkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dari Mei ke Februari 2021 dan pembayaran telah dibuat.

“Kita juga membenarkan pengelua-ran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berjumlah sehingga RM60,000 dan bantuan sosial bagi kumpulan rentan seperti OKU, gelandangan dan miskin bandar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut fokus program pendigitalan bagi mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar, manakala bagi mengoptimumkan transformasi GLC, usaha merangkumi penilaian semula pelaburan strategik dalam negara dan tanggungjawab sosial korporat, selain agenda bumiputera.