Ada perang saudara dalam UMNO?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati dan penganalisis politik menjangkakan ‘perang saudara’ dalam UMNO bakal meletus susulan pendirian parti itu yang tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut mereka, bibit-bibit peperangan itu sememangnya telah lama timbul selepas wujud dua kem yang mempunyai pendirian berbeza berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kewujudan dua kem dalam UMNO iaitu kumpulan yang mahu kekal memberikan sokongan kepada PN seperti mana yang termaktub dalam Muafakat Nasional (MN) dan satu kumpulan lagi ‘berminat’ untuk bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sememangnya telah menjadi rahsia terbuka parti tersebut.

Dalam masa sama, gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kerap dibangkitkan sejak akhir-akhir ini mungkin diperhebatkan apatah lagi ada ahli dan pemimpin parti menzahirkan penolakan itu secara terbuka.

Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, dua pendirian berbeza itu menyebabkan parti terbesar orang Melayu kini terbahagi dua.

“Kita lihat pertembungan kedua-dua pihak inilah yang menyebabkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan bahawa mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu.

“Namun, bagi saya keputusan MKT ini bukan satu keputusan sebulat suara daripada akar umbi. Jadi sebab itulah kalau kita lihat keputusan ini banyak disanggah oleh kepimpinan UMNO sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.

Pandangan sama turut disokong Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mujibu, salah satu faktor utama wujudnya perpecahan dalam UMNO ketika ini adalah disebabkan parti itu tidak lagi menjadi kerajaan.

“Bila tidak lagi jadi kerajaan seperti mana dalam budaya kepimpinan UMNO dahulu, yang menjadi pimpinan tertinggi parti itu adalah orang yang menjadi pemimpin dalam kerajaan.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan pimpinan tertinggi parti seperti Presiden, Timbalan Presiden tidak menjadi ahli Kabinet. Kalaulah jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan dan diberikan kepada presiden (UMNO), barangkali ini tidak menyumbang kepada permasalahan yang ada,” kata beliau.

Jelasnya, ada kebarangkalian perang saudara UMNO akan menjadi lebih besar sekiranya pemilihan parti diadakan dalam masa terdekat ini.