Pemimpin kini hanya pentingkan diri, konco

RAFIDAH AZIZ - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
RAFIDAH AZIZ - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi politik negara kini berubah apabila pemimpin sedia ada lebih mementingkan diri sendiri dan ‘konco-konco’ mereka.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, tindakan itu dilihat menyeleweng dari landasan sebenar.

“Saya lihat politik hari ini sudah beralih daripada politik pembangunan negara dan rakyat kepada politik pembangunan diri sendiri dan konco-konco.

“Jadi maknanya sudah menyeleweng. Kalau dulu kita buat apa yang patut untuk rakyat dan negara tetapi hari ini, rakyat dan negara diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana darurat yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini didakwa lebih bermotif politik namun menjadikan Covid-19 sebagai alasan.

“Darurat pun boleh dibuat demi kepentingan diri dan kelompok. Jadi tak payah adakan sidang Parlimen padahal satu dunia tetap bersidang tetapi kita tak boleh.

“Banyak urusan tertangguh. Malah menteri boleh pula ke sana sini. Saya tak faham multiple standard yang diamalkan. Bila ini cara pentadbiran negara, rosaklah negara.

“Dasar dibuat juga berubah setiap hari. Esok orang tegur, lusa ubah suai. Sepatutnya dipanggil ramai-ramai (sidang) supaya ketentuan ada (dasar), macam kita buat dulu.

Artikel Berkaitan:

“Bila satu dasar diterima semua, esok sudah boleh laksanakan sebab semua orang tahu dasar itu memang bagus,” katanya.

Rafidah berkata, keadaan itu menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat ketika negara kini berdepan pandemik Covid-19.

“Ramai rakyat terkesan, hilang pekerjaan. Macam-macam masalah ekonomi dan sosial timbul. Jadi bila ditambah pula keraguan pentadbiran, rakyat bukan sahaja risau tetapi marah.

“Jadi politik hari ini bukan lagi politik parti sebaliknya politik nak pegang kuasa sampai mati. Saya tak terfikir dapat melihat politik yang kucar-kacir ini,” katanya.