Kedudukan LGBT di Malaysia

A
A
A

WALAUPUN tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari masa ke masa.

Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah serius dan perbuatan tidak bermoral dalam masyarakat.

Di England, terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman.

Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh. Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup.

Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau (gross indecency).

Akhirnya, Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun. Ia jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perla-kuan berkaitan LGBT.

Namun, secara perlahan masyarakat Barat tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebahagian daripada hak individu.

Pengiktirafan Perkahwinan Sejenis merupakan salah satu agenda golongan LGBT. Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Artikel Berkaitan:

Belanda adalah negara pertama membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001.

Setakat 2014, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico dan Israel (walaupun tidak dilakukan di sana), bersama-sama dengan 25 buah negeri di Amerika Syarikat (AS) – Massachusetts, Iowa, Connecticut, Vermont, New Hampshire, New York, Maine, Maryland, Washington, Minnesota, New Mexico, Rhode Island, Delaware, California, New Jersey, Hawaii, Illinois, New Mexico, Utah, Oklahoma, Virginia, Oregon, Pennsylvania, Wisconsin, Indiana dan Colorado serta Daerah Columbia.

Golongan LGBT telah mendapat kejayaan besar dengan keputusan mahkamah berkenaan perkahwinan sejenis di AS, malah pentadbiran Presiden Joe Biden juga melantik pengamal LGBT sebagai pegawainya.

Dalam kes yang dikenali sebagai kes Obergefell v. Hodges, aktivis LGBT, John Arthur telah berkahwin dengan pasangan sejenis, James Obergefell di Maryland, Amerika. Kemudian, John Arthur telah meninggal dunia.

Obergefell memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan beliau dinamakan sebagai waris dalam Sijil Mati Arthur. Namun, pendaftar di negeri Ohio tidak dapat meluluskannya kerana Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri Ohio mengumumkan rancangan meneruskan larangan perkahwinan sejenis di Ohio, Amerika.

Pada 26 Jun 2015, mahkamah dengan majoriti 5-4 memutuskan bahawa berdasarkan Pindaan Keempat Belas (Four-teenth Amendment) semua negeri di AS diarahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis dan mengiktiraf perkahwinan sejenis yang dijalankan di negeri lain.

Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan spesifik terhadap gerakan LGBT. Namun, perbuatan homoseksual dan seksual di luar tabii merupakan satu kesalahan berdasarkan undang-undang di Malaysia.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa ‘Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela akan dihukum penjara maksimum 20 tahun termasuk sebatan.’

Jenayah

Selanjutnya, bagi kesalahan melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT.

Antara kesalahan jenayah syariah di Wilayah Persekutuan melibatkan LGBT adalah perbuatan liwat, Musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan dan perbuatan orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral). Namun, kesalahan liwat ini telah diisytihar tidak berperlembagaan dan tidak sah di Selangor.

Malaysia tidak lari daripada cubaan untuk pengiktirafan hak golongan LGBT. Sebagai usaha untuk memberi pengiktirafan dan hak sama rata kepada golongan LGBT, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) telah menuntut Malaysia menerima syor-syor mereka dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) tahun 2013, anjuran Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland. Secara ringkas, tuntutan COMANGO berkaitan LGBT adalah seperti berikut:

1. Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Pengiktirafan orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat.

2. Syor meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Hujahan bahawa jenayah liwat merupakan undang-undang yang tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman.

3. Syor agar Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dimansuhkan dan pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai ‘mengganggu hak peribadi’.

Bagaimanapun, syor-syor berkai-tan LGBT tidak akan terhenti setakat itu kerana pusingan Semakan Berkala Sejagat untuk Malaysia adalah dija-dualkan pada Oktober 2022. Diharapkan delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland kelak akan terus berusaha mempertahankan kesucian Islam dalam menghadapi syor-syor melibatkan Hak Asasi Manusia.

Berdasarkan rujukan daripada sumber-sumber di atas, adalah dapat difahami bahawa gerakan LGBT merupakan satu gerakan terancang yang agendanya semakin diterima masyarakat dunia.

Pada mulanya perbuatan homoseksual dikenakan hukuman cukup berat, namun beransur-ansur hukuman tersebut diringankan dan akhirnya diiktiraf sebagai hak asasi manusia.

Tidak cukup dengan itu, perkahwinan sejenis mula diterima dunia dan akhirnya negara maju seperti AS telah mengiktiraf perkahwinan sejenis berdasarkan keputusan Mahkamah Agung (Supreme Court).

Apakah yang akan berlaku di Malaysia?

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia