Dilema pentadbiran Joe Biden

A
A
A

TENTERA Amerika Syarikat (AS) dijangka berundur dari Afghanistan dalam tempoh dua bulan lagi. Dalam Perjanjian AS-Taliban yang ditandatangani pada 29 Februari 2020, AS bersetuju mengurangkan bilangan tentera di Afghanistan kepada 2,500 anggota dan pengunduran sepenuhnya pada 1 Mei 2021, manakala Taliban bersetuju tidak akan memberi pelindungan kepada kumpulan al-Qaeda atau mana-mana kumpulan yang mampu menganggu-gugat keselamatan dan kepentingan AS.

Taliban juga berjanji mengadakan rundingan dengan kerajaan Afghanistan untuk mencapai penyelesaian dan genjatan senjata yang berkekalan. Syarat ketiga iaitu rundingan antara Taliban dan kerajaan Afghanistan sedang diadakan di Doha, Qatar. Namun, sehingga kini rundingan itu belum mendatangkan hasil.

Malah, pihak Taliban telah meminta agar rundingan ditangguhkan. Cabaran bagi AS adalah untuk memastikan rundingan damai Taliban-Afghanistan terus berlangsung sehingga mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak.

Cabaran terbesar bagi AS di Afghanistan adalah pengunduran tentera sepenuhnya. Pentadbiran Presiden Joe Biden terpaksa memikul beban campur tangan AS ke Afghanistan. Tentera AS telah mula menduduki Afghanistan sejak Oktober 2001 apabila bekas pentabiran Presiden George Bush Jr telah menceroboh Afghanistan dalam usaha memerangi kumpulan al-Qaeda.

Konflik di Afghanistan telah mengakibatkan ramai nyawa terkorban.

Perjanjian AS-Taliban 2020 dibuat ketika pentadbiran Presiden Donald Trump dan kini pentadbiran baharu di bawah Biden berada dalam dilema sama ada mahu meneruskan persetujuan mengundurkan 2,500 anggota tentera AS, kemudian diikuti 5,000 lagi anggota tentera daripada Organisasi Perjanjian Atlantik Utara atau North Atlantic Treaty Organization (NATO).

Kedua-duanya bukan pilihan mudah kerana memberi kesan negatif kepada pentabiran Biden.

Pertama, sekira Biden memilih untuk mengundurkan tentera AS dari Afghanistan, besar kemungkinan Taliban akan mempergunakan peluang itu untuk bangkit secara besar-besaran menjatuhkan kerajaan Afghanistan pimpinan Presiden Ashraf Ghani yang masih tidak stabil. Kerajaan Afghanistan akan menjadi lebih goyang setelah tentera AS berundur.

Artikel Berkaitan:

Afghanistan juga berhadapan caba-ran korupsi yang berleluasa disebabkan masalah kemiskinan dalam kalangan penduduk.

Cabaran korupsi telah mengakibatkan sumbangan antarabangsa seperti makanan, ubat-ubatan dan alat pemanas yang disalur oleh pertubuhan antarabangsa serta organisasi bukan kerajaan tidak sampai kepada orang awam, sebaliknya dilesapkan oleh sesetengah anggota kerajaan Afghanistan yang menjualnya semula di pasaran gelap.

Masalah itu menyebabkan ramai penduduk Afghanistan telah hilang keyakinan terhadap kerajaan yang mereka anggap sebagai boneka kepada AS.

Justeru, mereka lebih bersimpati dengan perjuangan Taliban. Pengalaman lalu telah membuktikan sebaik sahaja pengunduran Soviet Union dari Afghanistan pada 1989, Presiden Mohammad Najibullah telah digulingkan oleh Taliban pada 1992. Perkara sama mungkin berlaku kepada Ashraf Ghani jika tentera AS benar-benar berundur.

AS juga bimbang jika tentera mereka berundur, ia akan menimbulkan keadaan kekosongan kuasa atau power vacuum dan China berpotensi mengisi kekosongan itu.

China menunjukkan minat untuk melabur dan membangunkan Afghanistan. Kedua, pentadbiran Biden memilih meneruskan penempa-tan tentera di Afghanistan. Ia bererti Biden melanggar syarat Perjanjian AS-Taliban 2020.

Walaupun AS kini berada di bawah pentadbiran baharu, namun ia harus menghormati perjanjian antarabangsa terdahulu.

AS sedar konflik di Afghanistan sudah menjadi ‘duri dalam daging’ selagi tentera AS tidak berundur. Selain itu, ramai rakyat AS tidak mahu AS terus terlibat dalam konflik di Afghanistan dan inginkan tentera AS ditarik balik.

Biden sudah pasti akan mendapat kritikan hebat daripada rakyat AS sendiri jika enggan mematuhi syarat pengunduran tentera.

Afghanistan sudah terkenal dengan nama jolokan graveyard of empires kerana sejarah telah membuktikan empayar luar mudah untuk menceroboh dan menawan Afghanistan tetapi terpaksa berhadapan tentangan hebat daripada penduduk tempatan sehingga ditewaskan dan terpaksa berundur dengan kos tinggi seperti Empayar British, Soviet Union dan sekarang AS!

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya