Tragedi pencarum KWSP

A
A
A

DARI sudut ekonomi, antara berita besar minggu lalu adalah pengumuman dividen oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada kadar 5.2 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.9 peratus bagi simpanan Syariah untuk tahun kewangan 2020.

Sekali gus, ia adalah lebih tinggi daripada 4.25 peratus yang diumumkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada 22 Disember lalu.

Perbandingan itu wajar kerana KWSP dan PNB adalah dua tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terbesar di Malaysia yang melabur secara terus bagi pihak peserta masing-masing. Bezanya, KWSP adalah pelaburan wajib dan PNB adalah sukarela.

Dalam konteks ini, adalah amat wajar bagi pelabur ASB dan pelabur skim-skim amanah saham lain yang dikelolakan oleh PNB mengharapkan pembaikan dalam agensi amanah itu memandangkan kontroversi yang melibatkan Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Tahun lalu, harta di bawah pengurusan (AUM) KWSP melepasi RM1 trilion. Jumlah sebenarnya RM1.02 trilion. Satu trilion adalah satu ribu juta. Dalam bentuk angka 1,000,000,000,000.

Malangnya, di sebalik berita yang boleh dikira baik itu tersembunyi sebuah tragedi akibat langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka melalui skim i-Sinar dan i-Lestari.

Kini dianggarkan 30 peratus atau 1.6 juta ahli KWSP telah mengeluarkan semua simpanan mereka daripada akaun satu dan 60 peratus atau tiga juta orang telah menggunakan semua simpanan dalam akaun dua.

Ia bermakna seramai 4.6 juta pekerja sektor swasta yang sebelum ini menabung dengan KWSP dan melihat pelaburan mereka meningkat tahun demi tahun kini dikhuatiri tidak pun mempunyai satu sen simpanan.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab itulah, kita amat berharap agar ekonomi negara pulih dengan pantas agar mereka boleh menabung semula.

Kita boleh menyalahkan pandemik Covid-19 sebagai punca rakyat jelata hilang sumber pendapatan tetapi apa yang berlaku kepada pencarum KWSP adalah kerana dasar kerajaan.

Kerajaan memilih jalan mudah dengan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka, sedangkan ramai ahli ekonomi berpendapat kerajaan sepatutnya membantu mereka dengan menggunakan sumber kewa-ngan negara seperti yang dilakukan oleh banyak negara.

Akibat dasar tersebut, ramai pekerja swasta akan bersara tanpa sumber saraan, manakala bilangan yang jatuh miskin bertambah ramai.

Maka, tidak hairanlah jika ramai telah menjadi les nouveaux pauvres atau dalam bahasa Perancis bererti orang miskin baharu.

Ia amat mendukacitakan kerana 30 atau 40 tahun lalu kita bergembira dengan kelahiran ramai le nouveau riche atau orang kaya baharu, khususnya dalam kalangan bumiputera.

Akibat penguncupan 5.8 peratus ekonomi tahun lalu, banyak isi rumah dalam kategori 40 peratus berpendapatan menengah (M40) telah jatuh menjadi 40 peratus terkebawah (B40).

Malah, tidak mengejutkan jika ada daripada kumpulan 20 peratus berpendapatan tinggi (T20) yang jatuh menjadi M40 atau B40.

Kesimpulannya, apa yang sedang kita alami sekarang adalah bertenta-ngan dengan aspirasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam uca-pannya pada Jumaat lalu yang mahu Malaysia membebaskan diri daripada perangkap pendapatan pertengahan dan mara menjadi negara pendapatan tinggi.

Wallahuaklam.

Kini dianggarkan 30 peratus atau 1.6 juta ahli KWSP telah mengeluarkan semua simpanan mereka daripada akaun satu dan 60 peratus atau tiga juta orang telah menggunakan semua simpanan dalam akaun dua.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara