Ungkapan kebenaran rausyanfikir

Program Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 seharusnya meninggalkan kesan terhadap keilmuan dan minat membaca warga kota. - Foto Bernama
Program Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 seharusnya meninggalkan kesan terhadap keilmuan dan minat membaca warga kota. - Foto Bernama
A
A
A

ACARA-ACARA yang dilaksanakan sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC 2020) bakal berakhir pada 23 April ini setelah hampir setahun pelaksanaannya. Sejauh manakah masyarakat menyedari kewujudan acara-acara bersempena KLWBC 2020 ini dan setakat manakah perimeter dampaknya kepada khalayak?

Saya pernah menulis tentang ‘Rak Buku dan Kota Rausyanfikir’ yang berhasrat agar KLWBC 2020 bukan setakat dimeriahkan dengan lambakan beratus-ratus acara tetapi pada masa yang sama membentuk bangsa Malaysia sebagai bangsa pembaca dan mewujudkan Kuala Lumpur sebagai sebuah Kota Rausyanfikir.

Sejarah membuktikan bahawa tradisi ilmu yang terhasil daripada gagasan rausyanfikir para cendekiawan sesebuah negara telah berjaya menggerunkan negara-negara yang mempunyai kapasiti penduduk dan lingkung wilayah yang lebih besar.

Hasil keilmuan Yunani contohnya, berpengaruh besar ke atas negara Rom dan bangsa-bangsa lain sehingga ke hari ini. Begitu juga tradisi keilmuan bangsa Jerman amat besar mempengaruhi ketamadunan Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat.

Budaya rausyanfikir bukan sekadar bermaksud usaha-usaha menyuburkan keilmuan dan dilumati kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat.

Sesuatu kebudayaan akan muncul apabila setiap entiti mahupun lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan keilmuan. Apabila sesebuah masyarakat telah mencapai tahap ini, ilmu dianggap sebagai harkat tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan sosialisasi.Cendekiawan

Dalam membudayakan masyarakat sebagai bangsa berilmu, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas mentakrifkan bahawa ilmu ialah ketibaan sesuatu makna hasilan daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang.

Pandangan cendekiawan negara ini memaknakan bahawa ilmu tidak sama dengan maklumat. Ilmu memerlukan maklumat yang benar dan memberikan makna yang benar kepada manusia. Maklumat yang tidak benar waima memberikan makna yang besar kepada manusia tidak dianggap sebagai ilmu.

Artikel Berkaitan:

Ketinggian darjat ilmu yang disokong dengan ketepatan maklumat yang sahih dan benar menonjolkan sifat ilmu yang suci dan putih. Perkembangan pesat teknologi menyediakan jaringan akses informasi tanpa sempadan.

Revolusi Industri 4.0 yang belakangan ini kerap diperkatakan di negara kita dikatakan agak ketinggalan berbanding negara lain seperti Korea dan Jepun yang telah pun berada dalam zon Revolusi Industri 5.0. Situasi ini mendedahkan masyarakat dengan kepelbagaian mudah akses maklumat.

Namun harus diingat, maklumat yang tidak benar seperti penularan infodemik bukanlah bersifat ilmu.

Ulama-ulama Arab sendiri sering menyebutkan bahawa manusia yang hanya membawa maklumat tanpa mengetahui kebenarannya umpama keldai yang memikul muatan lembaran-lembaran kertas kosong. Kedapatan juga hujah mengatakan bahawa ayat ini dilontar sinis kepada golongan cendekiawan yang tidak mengambil faedah daripada ilmu mereka.

Ada kebenarannya juga, bagaimana pula dalam konteks negara kita yang masih lagi berantakan, khususnya dari aspek siasah?

Masyarakat galau dan terperangkap dalam kemelut serakah kuasa tanpa noktah, sukar untuk membezakan antara maklumat yang benar dan tidak benar. Media digunakan sepenuhnya sebagai pasar terbuka untuk menjual harapan dan kebenaran bagi mempengaruhi sokongan rakyat. Golongan cendekiawan juga banyak membungkam kerana lebih menjaga periuk nasi daripada kepentingan masyarakat yang masih terkial-kial mencari kebenaran.

Barisan hadapan

Jika kebenaran ialah inti penting dalam ilmu, bagaimanakah pula untuk kita menentukan sesuatu kebenaran itu? Apakah pula kriteria-kriteria kebenaran?

Para ulama dan pemikir Islam terdahulu seperti Abu Hafs Umar al-Nasafi menyimpulkan dua kategori umum pengalaman manusia yang boleh memberi ilmu iaitu; pengalaman sendiri melalui pancaindera lahir atau batin, dan pengalaman sebenar orang-orang lain yang disampaikan melalui khabar atau penulisan.

Pandangan ini mengungkapkan bahawa dalam budaya ilmu, tindak-tanduk manusia sama ada pada peringkat individu, atau masyarakat umumnya bertitik tolak daripada kebenaran, bukan hawa nafsu atau kepentingan-kepentingan sempit idealisme politik dan kelompok sosial.

Mewujudkan sebuah kota rausyanfikir bukan bersandarkan kepada pelaksanaan KLWBC semata-mata. Kelompok penulis perlu memainkan peranan utama sebagai barisan hadapan, pemikiran dan gagasan idea juga seharusnya terkedepan untuk menyalurkan kebenaran kepada khalayak pembaca.

Idealisme perjuangan untuk sumbangan abadi yang bersifat posterity dan immotarlity harus ditanam dan didatarkan. Idealisme sebeginilah jika menjadi roh dalam diri penulis akan mendorong untuk menghasilkan penulisan yang benar bagi memberikan ilmu bersifat sejagat.

Islam dan tamadun yang dibina tidak bercorak eksklusif tetapi bersifat universal. Ternyata bahawa tamadun Islam yang terpimpin oleh kebijaksanaan mempunyai potensi dan kebolehan sintesis yang sangat diperlukan dalam dunia yang penuh rencam ini.

Sintesis Islam ialah sintesis yang terpancar daripada idealisme dan nilai keagamaan yang kekal dan jelas. Malah al-Ghazali walaupun memberi kritikan terperinci mengenai kekeliruan idea-idea ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan unsur-unsur pemikir Yunani, tetap mengakui sumbangan dan keagungan pemikir-pemikir Yunani. Sikap apresiasi kritis ini dapat dibaca dalam buku beliau, Tahafut al-Falasifah.

Penulis datang dan pergi dalam sejarah kepengarangan dunia, namun berapa keratkah nama-nama yang tetap diingat dan disebut?

Ada penulis yang dikenang kerana penulisannya diiktiraf sebagai karya agung dan memberikan kesan yang besar sebagai manifestasi kemanusiaan sejagat. Ada juga penulis yang tetap diingati kerana gaya kepengarangannya yang tersendiri. Terdapat penulis yang agak paradoks dan penuh penentangan, namun meniti di bibir. Tidak kurang juga yang muncul semusim, akhirnya hilang begitu sahaja.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia