Tiga pemain THT sah boleh sertai MHL 2021

Anil Jeet
Anil Jeet
A
A
A

TIGA pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) boleh beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 yang bermula pada 11 Mac ini selepas disahkan bebas jangkitan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

Ketiga-tiga pemain terbabit ialah penyerang sensasi, Faizal Saari, Abdul Khalid Hamirin (penyerang) dan Shello Silverius (pemain tengah) yang disahkan positif Covid-19 pada Februari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, pihak MHC telah menerima keputusan daripada KKM mengesahkan bahawa ketiga-tiga pemain terbabit bebas Covid-19 pada Khamis dan Jumaat lepas.

“Namun, mereka dikehendaki membuat ujian calitan sekali lagi pada 8 Mac dan menyertakan surat kebenaran daripada KKM kepada kami sebelum boleh menyertai gelembung sukan MHL,” katanya pada sidang media menjelang penganjuran MHL pada Sabtu.

MHC baru-baru ini menetapkan peraturan bahawa mana-mana pemain didapati positif Covid-19 perlu menunjukkan surat dari KKM mengesahkan mereka bebas daripada virus berkenaan jika ingin beraksi pada saingan MHL 2021.

Sementara itu, mengenai kempen MHL 2021, Anil Jeet berkata, lebih 500 individu akan terlibat dalam saingan musim ini terdiri daripada pemain, pegawai perubatan, pegawai keselamatan dan ‘ball boy’.

Katanya, MHL tahun ini adalah cabaran ‘luar biasa’ dihadapi kerana dianjurkan mengikut konsep gelembung sukan membabitkan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

“MHC gembira menerima maklum balas baik daripada semua pasukan terlibat termasuk komitmen untuk mematuhi SOP ditetapkan dalam kancah saingan liga kali ini yang dijangka berakhir 3 April depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Liga MHL 2021 menyaksikan lapan pasukan lelaki akan berentap terdiri daripada juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah.

Dalam kategori wanita pula, disertai PKS UniTen, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies. - Bernama