Perhilitan Terengganu tangkap gajah betina seberat 2.5 tan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah betina liar dalam satu operasi di Kampung Durian Bador dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu, Khamis lalu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, haiwan liar seberat 2.5 tan itu ditangkap kira-kira jam 10 pagi melalui kaedah tembakan ubat pelali dalam operasi yang dijalankan melibatkan enam kakitangan Unit Tangkapan Gajah, Terengganu.

Beliau berkata, Perhilitan Terengganu telah membuat pemantauan sejak Selasa (2 Mac), selepas menerima aduan daripada penduduk kampung sekitar mengenai sekumpulan gajah yang sering berkeliaran di kampung mereka dan merosakkan tanaman penduduk.

"Hasil risikan mendapati terdapat sembilan ekor gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran.

"Kumpulan gajah ini dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menceroboh masuk ke perkampungan penduduk untuk mencari makanan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, berita kejayaan penangkapan haiwan itu, melegakan penduduk di sekitar Kampung Sekayu, Kuala Menjing, Durian Bador Kemat, Padang Setar dan Taman Pertanian Negeri Sekayu, kerana tanaman mereka sering dimusnahkan, sebelum ini.

Menurut beliau, gajah betina itu kini dalam keadaan sihat dan stabil manakala operasi pemindahan gajah liar itu akan dilakukan esok dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

“Lokasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar terbabit ialah di Taman Negara, Tanjung Mentong di Hulu Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan penduduk di kampung tersebut serta pengurusan Taman Pertanian Negeri Sekayu melahirkan kebimbangan disebabkan kehadiran kumpulan gajah liar itu yang merosakkan tanaman hingga terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit. - Bernama