Kalah teruk PRU14, MCA temui semula matlamat asal parti

Sebahagian dari perwakilan dilihat memegang plakad bertujuan menyeru SPR mempercepatkan kelulusan syarat yang membolehkan remaja berumur 18 tahun layak mengundi dalam pilihanraya pada pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-56 di Wisma MCA pada Sabtu. - Foto Bernama
Sebahagian dari perwakilan dilihat memegang plakad bertujuan menyeru SPR mempercepatkan kelulusan syarat yang membolehkan remaja berumur 18 tahun layak mengundi dalam pilihanraya pada pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-56 di Wisma MCA pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga menyebabkan kurangnya wakil MCA di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), memberi peluang untuk parti itu kembali kepada hala tuju dan matlamat asalnya, iaitu membangunkan Malaysia untuk semua.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata, berikutan kekalahan itu, MCA yang telah bermuhasabah diri akan terus memainkan peranannya dalam memperjuangkan keadilan sosial, keharmonian kaum dan pembangunan negara.

“Kami ingin memberitahu rakyat terutamanya masyarakat Cina, bahawa kami telah mendengar mesej mereka semasa PRU14 pada 9 Mei 2018 dan kami telah muhasabah diri,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-56 yang dirasmikan Timbalan Presiden, Datuk Dr Mah Hong Soon dan berlangsung secara hibrid menggabungkan kehadiran fizikal di Wisma MCA di sini serta secara maya.

Pada PRU14, MCA hanya memenangi satu daripada 39 kerusi Parlimen dan dua daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi, sekali gus merekodkan kekalahan paling teruk dalam sejarah penubuhannya.

Nicole menjadi wanita pertama menggalas amanah Ketua Pemuda MCA itu berkata, kekalahan pada PRU14 bukanlah alasan untuk parti menyerah kalah dan percaya MCA yang kini menginjak usia 72 tahun mempunyai harapan untuk memenangi semula hati rakyat.

"Kita semua harus bekerja keras, belajar daripada kesilapan, berani mendekati rakyat, merapatkan jurang antara kita dengan rakyat, mendengar suara rakyat dan prihatin kepada hal ehwal masyarakat serta membantu mereka menyelesaikan masalah,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Undi 18 yang memberi hak kepada anak muda berusia 18 tahun memilih kerajaan, Nicole berkata, langkah proaktif harus diambil Pemuda dengan memastikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menerusi pelaksanaan Undi 18, ia dijangka membabitkan 7.8 juta pengundi baharu di Malaysia.

Sementara itu, Hong Soon ketika merasmikan perhimpunan itu berkata, pelaksanaan Undi 18 memberikan peluang, ruang dan suara kepada golongan muda untuk bersama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya.

Persidangan itu dihadiri 322 perwakilan daripada 186 bahagian seluruh negara. - Bernama