PH harus gerun dengan Bersatu

A
A
A

NAMPAKNYA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mengukuhkan kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH). Dengan menambah enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu Selasa lalu, parti itu menambah kerusinya di Parlimen menjadi 22 berbanding 15.

Kemasukan mereka ke dalam Bersatu selepas dua bulan keluar UMNO dan menjadi Ahli Parlimen bebas sememangnya sudah dijangka dan tidak mengejutkan. Walaupun seketika ada ura-ura mengatakan bahawa mereka melakukan ‘u-turn’ kembali kepada UMNO dek takut dikenakan tindakan undang-undang, ia masih tidak cukup menggentarkan mereka untuk menyertai Bersatu.

Tindakan itu barangkali dilihat ramai sebagai usaha PH memperoleh majoriti 2/3 di dalam Parlimen. Memang ada benarnya jangkaan itu memandangkan PH ketika ini hanya memiliki majoriti mudah (134 kerusi) dan masih jauh daripada mencapai sasaran itu (147 kerusi untuk majoriti 2/3).

Tetapi di sebalik menambah kerusi untuk majoriti ini tentulah yang menarik perhatian kita semua adalah parti Bersatu itu sendiri. Nampaknya, Bersatu cuba memperkuatkan posisinya yang rapuh sejak dari mula PH dibentuk. Sebagai parti komponen dalam PH, Bersatu sedar bahawa kedudukan mereka sangat marginal dalam pakatan itu walaupun menguasai kementerian yang strategik dalam Kabinet.

Dalam politik, angka adalah segala-galanya. Sebab itu apabila Bersatu menerima Ahli-Ahli Parlimen lawan ke dalam parti itu, niatnya mudah dibaca. Kalau diperhatikan, PKR menguasai Parlimen menerusi 50 kerusi yang dimiliki diikuti DAP (42), Amanah (11) dan sekutunya dari Sabah, Parti Warisan (9).

Namun sebaliknya pula penguasaan Kabinet apabila ia kelihatan seimbang, dengan PKR (14), DAP (13), Bersatu (12), Amanah (10), Warisan (5) dan Hindraf (1). Sekiranya dibandingkan, secara relatifnya Bersatu dan Amanah merupakan parti yang paling beruntung dalam PH kerana menguasai Kabinet walaupun memiliki kerusi yang sedikit.

Persoalannya, apakah yang boleh dibaca dengan kesemua perkara ini? Pertama Tun Dr Mahathir seperti ‘merancang’ sesuatu dengan memperkukuhkan Bersatu dalam PH. Walaupun Dr Mahathir setakat ini masih komited dengan pelan peralihan kuasa yang tinggal tak sampai dua tahun lagi, tindakan beliau ini semacam membayangkan sebaliknya.

Sebelum ini, apabila Bersatu bertapak di Sarawak tahun lalu, ia dibaca ramai bagi memudahkan lompat parti dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen Sarawak ke dalam Bersatu tanpa masalah. Malangnya ia tidak berjaya apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengekang ia daripada berlaku.

Artikel Berkaitan:

Di Sabah kelibat Bersatu semakin kuat menghantui Warisan. Setelah beberapa kali menafikan Bersatu akan masuk ke Sabah, nampaknya ia sudah tidak boleh disembunyikan lagi. Ketika sidang media khas Dr Mahathir Selasa lalu, beliau seperti tidak lagi mengendahkan permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal apabila secara terbuka menyatakan ia bukan urusan Shafie dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat parti.

Walaupun masih belum diputuskan, nada Dr Mahathir secara terang menggambarkan keazaman Bersatu untuk masuk ke Sabah. Dengan kemasukan Bersatu, Sabah dilihat mampu menyumbang kerusi yang diperlukan untuk memperkukuhkan Bersatu.

Di Semenanjung pula, sudah tentu perkembangan dalam PKR memihak Dr Mahathir dan Bersatu. Pengaruh besar sekutunya, Datuk Seri Azmin dalam PKR memungkinkan Dr Mahathir mempengaruhi serta mengawal parti itu. Dengan Amanah setakat ini masih dilihat bersama beliau, barangkali DAP yang mungkin menjadi masalah buat Dr Mahathir dan Bersatu dalam perancangan masa depan mereka.

Sebab itulah nampak jelas mengapa ketika ini kemasukan bekas-bekas Ahli Parlimen UMNO di Semenanjung dan Sabah penting dalam perencanaan seterusnya. Selepas kemasukan enam bekas Aahli Parlimen UMNO ini, Sabah mungkin sasaran utama Bersatu bagi menambah kerusinya dalam Parlimen. Setakat ini, lima Ahli Parlimen bebas di Sabah masih belum dipancing oleh mana-mana parti. Sebab itulah hal ini perlu segera dimanfaatkan Bersatu.

Cuma seperkara yang mungkin harus difikirkan di sebalik semua ini, apakah ini benar satu proses pengukuhan Bersatu sebagai sebuah parti ataupun ianya langkah mengekalkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri melangkaui tempoh yang dijanjikan? Mungkin kita harus tunggu sehingga Semenyih selesai.

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM